IPOH – Kerajaan negeri Perak telah menetapkan halatuju baharu buat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) agar tumpuan diberikan kepada aspek penyediaan infrastuktur yang dapat menarik serta meningkatkan pelaburan dalam bidang industri.

Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu berkata tumpuan tersebut sebenarnya adalah selaras dengan tujuan asal penubuhan syarikat milik kerajaan negeri tersebut, iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi dengan merancang pembinaan taman-taman industri dan memastikan pelaburan dalam sektor ini meningkat.

“Apa yang kita cuba lakukan ialah untuk PKNP kembali tujuan asal penubuhan iaitu merancang dan melancarkan pembangunan ekonomi di negeri Perak. Kita semua sedia maklum bahawa PKNP mempunyai anak-anak syarikat yang telah beroperasi sejak sekian lama.

“Kita bukan mahu menghentikan operasi tersebut namun apa yg diusahakan sekarang ini ialah PKNP dari segi induknya perlu merancang dan juga membina lebih banyak taman-taman industri.

Ia mestilah dibuat dengan infrastruktur yang baik supaya pelaburan dari luar terutamanya dapat dibawa masuk dengan lebih agresif,” kata beliau di dalam satu sidang media setelah menghadiri majlis sambutan Aidilfitri PKNP di Kampung Sungai Rokam, di sini, hari ini.

Menteri Besar itu berkata dalam masa yang sama, kerajaan negeri tidak akan menghentikan operasi mana anak-anak syarikat PKNP manakala mana-mana anak syarikat yang bermasalah akan dibantu untuk mencari jalan penyelesaian.

“Kita mahu lihat anak-anak syarikat ini beroperasi seperti biasa tetapi tidak menggalakkan mereka bersaing dengan terlalu aktif sehingga menjejaskan peluang syarikat swasta dalam mendapat peluang perniagaan.

“Saya lebih berminat jika perbadanan-perbadanan tidak meletakkan matlamat untuk membuktikan keuntungan hujung tahun yang besar tetapi nak lihat syarikat-syarikat ini dapat memberi laporan bahawa mereka telah berjaya membantu sebilangan jumlah yang besar contohnya petani bagi Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri.

Manakala bagi PKNP kewujudan syarikat perumahan menyediakan rumah mampu milik yang banyak mungkin boleh dijadikan kayu ukur yang lebih signifikan kepada pentadbiran mereka pada masa ini,” kata beliau lagi.

1/6