BATU GAJAH – Kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi menambah laluan myBAS di pinggiran bandaraya Ipoh khususnya di Manjoi dan Hulu Kinta.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, SPAD juga telah memberi maklum balas positif mengenai permohonan itu dan akan mengambil tindakan segera mengenainya dalam masa tedekat.

fb6b4280-32d3-4718-9b70-dd857eba48ee

“Ada beberapa laluan di daerah Kinta ini yang memerlukan laluan tambahan atau meneruskan laluan itu untuk lebih jauh bagi membolehkan rakyat di sesuatu kawasan itu dapat keluar.

“Ini melibatkan rakyat di pinggiran bandaraya Ipoh, khususnya kawasan Manjoi dan Ulu Kinta, mereka perlukan perkhidmatan ini untuk ke bandar dan sebagainya.

“Jadi saya telah dapat maklum balas daripada SPAD, mereka akan cuba selesaikan isu-isu dibangkitkan ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini pada Rabu.

Tambah beliau, mesyuarat exco yang dibuat bersempena Permukiman Menteri Besar di Daerah Kinta itu juga telah membincangkan mengenai isu-isu setempat.

“Antaranya adalah masalah banjir hasil daripada pembangunan yang berlaku di kawasan Kinta, ia memerlukan satu tindakan segera oleh Jabatan Kerja Raya dan juga Jabatan Peparitan dan Saliran (JPS).

“Kita telah membincangkan segala masalah yang ditumbulkan dan kesemua jabatan yang terlibat akan mengambil tindakan segera hasil daripada mesyuarat yang diadakan,” jelas Dr Zambry.