Ipoh – Kerajaan negeri Perak sedang memantau tumpahan diesel yang berlaku akibat kejadian kapal karam di selatan perairan Pulau Pinang yang melibatkan sebuah kapal ikan dari Hong Kong pagi tadi.

Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu berkata beliau maklum mengenai insiden tersebut di mana kapal tersebuthampir karam setelah berlanggar dengan tukun kapal simen di Perairan Pulau Pinang berhampiran pantai Permatang Damar Laut, kira- kira jam 5.30 pagi tadi.

“Menurut Jabatan Laut negeri, setakat petang ini keadaan tumpahan minyak adalah terkawal dan belum merebak ke perairan utara Perak di Tanjung Piandang.

” Jabatan tersebut telah menghantar anggota ke lokasi untuk membantu kerja-kerja mengawal tumpahan minyak dan memantau keadaan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kapal Xin Yi Yi dari China sepanjang 43.6 meter itu telah terlanggar bangkai kapal karam di kawasan berkenaan.

Setakat ini kerugian dianggarkan lebih kurang RM 3.5 juta.

Dilaporkan bahawa semua mangsa kini berada bersama ejen kapal berkenaan, dalam keadaan selamat.

YAB Ahmad Faizal berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, pegawai dan anggota Jabatan Laut yang berpengkalan di Lumut juga telah diarahkan untuk berada dalam keadaan bersiap sedia untuk membantu sekiranya tumpahan minyak merebak ke perairan Tanjung Piandang.

“Tumpuan utama kita ada untuk mengelakkan tumpahan minyak tersebut daripada menjejaskan pengusaha ikan sangkar di sekitar perairan Tanjung Piandang dan juga nelayan pantai di kawasan tersebut,” katanya lagi.