IPOH– Kerajaan negeri Perak meneruskan tradisi pengagihan sumbangan juadah raya berjumlah 20,000 kotak kepada 18 pasukan keselamatan dan beruniform bersempena kedatangan Syawal tahun ini.

Tujuan pengagihan juadah raya itu, adalah bertujuan untuk menghargai pengorbanan anggota pasukan keselamatan dan beruniform yang bertugas di negeri ini pada hari raya Aidilfitri.

Majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan ini disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu.

Yang turut sama Panglima 2 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar, Ketua Polis Perak; Datuk Hasnan Hassan dan isteri Menteri Besar Perak, YABhg. Dr. Nomee Ashikin Mohammed Radzi.

YAB Ahmad Faizal dalam ucapannya turut menyentuh kepentingan dan jasa anggota keselamatan dan beruniform yang sanggup mengorbankan waktu cuti khususnya hari raya Aidilfitri demi negara.

“Kata orang inilah wira-wira yang tidak didendangkan, saya tidak menafikan pasukan keselamatan ini memerah keringat untuk keselesaan dan ketenteraman orang lain.

“Inikan pula ketika orang lain sedang bercuti bersama keluarga, tetapi pasukan ini taat dan setia untuk bertugas ketika musim perayaan,mereka tetap menabur bakti demi kepentingan negara,” ujarnya dalam program tersebut.

Pengagihan kotak juadah raya ini membabitkan pasukan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Markas 2 Briged, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Penjara Taiping, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Terdahulu, kerja pembungkusan telah disempurnakan oleh YABhg. Dr. Nomee Ashikin dengan dibantu oleh 505 orang petugas yang terdiri dari 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ia termasuk PUSPANITA, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia, BAKAT (Laut), BAKAT (Darat), BAKAT (Udara), PERKEP Perak, PERISMA (Bomba) dan Persatuan Ibu Tunggal Muslimah.

Bahan-bahan yang dibekalkan merangkumi makanan wajib hari raya seperti rendang tok, serunding, kuah kacang, beras serta kopi.