IPOH: Di sebalik perkembangan yang berlaku di peringkat kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Perak masih berfungi seperti biasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau masih melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri Besar, seperti yang diamanahkan dan kekal mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Perak.

Dalam masa sama, katanya, barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) juga masih menjalankan tanggungjawab masing-masing seperti biasa.

“Saya telah menyembahmaklum berhubung kedudukan politik negara dan negeri kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau menyeru persefahaman rakyat membantu usaha-usaha yang sedang dijalankan agar kemelut politik yang melanda negara ketika ini dapat diatasi dengan baik, sekaligus membolehkan kerajaan kembali menumpukan usaha-usaha pembangunan untuk kepentingan rakyat.

“Semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayah bagi membolehkan kita mendapat penyelesaian terbaik untuk rakyat dan negara,” ujarnya.

Pada Isnin, Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu keluar daripada Pakatan Harapan (PH).