IPOH: Kerajaan negeri bercadang mewujudkan pembahagian kawasan (zoning) untuk bidang pertanian bagi memperkasakan sektor itu.

 

 

Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu berkata pembahagian zon itu melibatkan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan.

 

 

Bagaimanapun beliau menjelaskan pembahagian zon itu hanya akan dibuat setelah sesuatu kawasan dikenalpasti sebagai kawasan yang sesuai untuk tanah pertanian.

 

 

“Kerajaan negeri boleh fikirkan untuk perkenalkan zoning bagi tanaman contohnya di tempat yang sesuai bagi sayur-sayuran dan kita zonkan kawasan itu.

 

“Begitu juga dengan buah-buahan serta tanaman lain, saya fikir perkara ini menarik yang boleh dipertimbangkan dan perhalusi, selain dijadikan dasar di peringkat kerajaan negeri,” katanya.

 

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima serahan cek RM 50,000 dari Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI).

 

 

Ditanya sama ada langkah yang akan diambil ini bertentangan dengan peranan yang dimainkan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).

 

 

Beliau menjelaskan isu itu tidak timbul kerana PPPNP juga di bawah kerajaan negeri, di mana beliau sendiri Pengerusi perbadanan itu.

 

 

Ahmad Faizal turut menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka dalam mengadakan kerjasama dengan sektor swasta dalam membangunkan ekonomi negeri.

 

 

“Apa yang kita mahu buat ialah dengan meneruskan kerjasama dengan sektor swasta dan berterusan selesaikan masalah termasuk isu pengangkutan, lebuhraya dan sebagainya,” katanya.