IPOH: Kerajaan negeri perlu akur dengan segala keputusan Majlis Tanah Negara (MTN) kerana ia telah dipersetujui oleh semua wakil negeri yang menganggotai majlis tersebut.

Bekas Pengarah Tanah dan Galian Perak, Datuk Abu Zar Omar berkata, dalam isu pemberian geran hak milik tanah kampung baharu, MTN telah bermesyuarat tiga kali iaitu pertama menetapkan tempoh pajakan dari 30 tahun kepada 60 tahun dan kedua menaikkan tempoh 60 tahun kepada maksimum 99 tahun.

Menurut beliau, pada tahun 2008, MTN sekali lagi bermesyuarat membincangkan keputusan kerajaan Perak ketika itu yang memberikan hak milik kekal 999 tahun kepada penduduk kampung baharu.

Beliau memberitahu, keputusan diambil adalah untuk mengekalkan keputusan pada mesyuarat kedua dengan memberikan tempoh maksimum 99 tahun.

“Sebenarnya MTN ini perhimpunan wakil-wakil negeri yang bersetuju apa yang dibincangkan dijadikan keputusan dan mesti diikut.

“Jadi, tidak timbul ia sebagai penasihat, sama ada boleh ikut atau tak boleh diikut tidak perlu timbul sebab dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan dari Perkara 83 sampai 91 itu semua urusan tanah, mesti diikut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Bicara Harapan Rakyat Siri 1 di Hotel Casuarina@Meru, di sini, pada Selasa.

Menurut Abu Zar, isu pemberian hak milik kekal itu tidak timbul di negeri-negeri lain, malah di Selangor, kerajaan negeri menetapkan pajakan tanah hak milik sehingga 99 tahun sahaja.

“Selepas bersara saya duduk di Selangor dan secara tidak langsung saya terlibat dengan proses pengambilalihan tanah di Selangor bagi projek Langat 2. Saya banyak berdamping dengan pegawai tanah Selangor.

“Di Selangor sangat mudah, tak timbul hak milik selama-lamanya dan mereka bagi pilihan untuk panjangkan tempoh pajakan sedia ada ke 99 tahun dan tanah teroka haram yang boleh diberikan pajakan 99 tahun akan diberikan bagi tempoh itu,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar sebarang keputusan mesti memikirkan kesan jangka panjang kepada negeri terutama dari sudut pendapatan kerajaan.

Beliau mencadangkan semua tanah kampung tersusun, kampung baharu dan sebagainya diberikan tempoh pajakan sama rata selama 99 tahun dengan dua cara.

Tambahnya, cara pertama yang boleh digunakan iaitu kerajaan mengenakan bayaran RM1,000 kepada pemilik tanah dengan syarat tanah tidak boleh dipindah milik, dicagar dan sebagainya atau kedua, mereka perlu membayar premium tanah mengikut harga pasaran semasa.

“Kita minta kerajaan dahulu, sekarang dan akan datang pertimbangkan perkara ini. Kita memerlukan duit dan hasil negeri, jadi, jika kita terlalu fleksibel, potong 80 peratus dan kutip 20 peratus daripada harga semasa, di mana hasil kita?

“Betullah kita hendak popular tetapi kita perlu mentadbir negeri, nak bayar gaji YB, pegawai, yang ini kita perlu fikirkan untuk generasi kita dan akan datang,” katanya.

Sementara itu, bekas anggota Exco kerajaan negeri Perak, Mohd Zainuddin Mohd Yusof berkata, walaupun tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri tetapi Kanun Tanah Negara telah diterimapakai oleh hampir semua negeri di Malaysia.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan negeri perlu akur kepada peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau ada special circumstances (keadaan khas), boleh tetapi dengan syarat Majlis Tanah Negara memberi persetujuan,” katanya yang juga panel sesi tersebut.

Bagaimanapun, kata beliau, sekiranya timbul persoalaan isu undang-undang atau soal tafsiran, tempat yang akan membuat keputusan ialah mahkamah.

Program Bicara Harapan Rakyat Siri 1 itu turut menampil dua lagi panel iaitu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dan peguam, Wan Koon Seng.

Dekan Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof Madya Fakhruldin Mohd Hashim pula bertindak sebagai moderator.

Antara tetamu yang hadir, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming; Exco-exco Kerajaan Perak, pegawai kerajaan, Ahli-ahli Majlis pihak berkuasa tempatan dan ketua-ketua kampung.