IPOH – Kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan pemberian diskaun 10 peratus kepada 20 meter padu air pertama berbanding cadangan awal diskaun pada bil bulanan bagi mengelakkan pembaziran penggunaan air.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata satu kertas kerja berkenaan cadangan tersebut akan dibentangkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang akan datang.

“Kita tidak sepatutnya memberi diskaun 10 peratus itu kepada bil penggunaan air sebaliknya kepada 20 meter padu yang pertama akan diberikan diskaun,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat LAP di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Air Perak (LAP) bekata tindakan pemberian diskaun tersebut kepada jumlah bil bulanan akan mendorong pengguna kepada pembaziran air.

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kita perlu buat satu keputusan yang baik kepada LAP selain memastikan masalah pembaziran air dapat diminimumkan.

“Ia akan dimaklumkan dengan lebih terperinci selepas perkara itu dibawa pada mesyuarat MMK yang akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata bilangan penerima yang bakal menerima Skim Bantuan Air Percuma kerajaan negeri Perak telah meningkat daripada 11,544 keluarga kepada 26,000 atau 110,000 orang.

Skim tersebut juga telah dinaikkan kepada 25 meter padu berbanding 20 meter padu pertama yang ditetapkan sebelum ini, katanya.

“Namun kita percaya dengan peningkatan kuantiti air percuma ini kumpulan sasar yang menggunakan air ini perlu disertakan dengan kempen berterusan agar tidak membazir.

“Walaupun dapat air percuma sehingga 25 meter padu tidak perlu guna sehingga sebanyak itu jika boleh kurangkan adalah lebih digalakkan,” katanya.

Katanya lagi, purata penggunaan air bagi pengguna domestik di Perak adalah sekitar 30 hingga 35 meter padu iaitu lebih 60 peratus penggunaan air diberikan diskaun.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua cadangan itu tetap akan diteruskan dan dilaksanakan pada Ogos ini.