IPOH – Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk menawarkan jawatan lain kepada Ketua Penerangan PKR negeri, Siti Aishah Shaik Ismail yang sesuai dengan kebolehan beliau sebagai pemimpin muda dalam membantu pentadbiran kerajaan Perak.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata perkara itu sedang dipertimbangkan selepas kerajaan negeri memutuskan cadangan awal untuk melantik beliau sebagai Penasihat Khas Menteri Besar tidak dapat diteruskan atas faktor impak kewangan kepada kewangan negeri.

“Setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak, kita mendapati kita tidak boleh melantik terlalu ramai penasihat khas kepada Menteri Besar bertaraf exco kerana kerana hal ini melibatkan peruntukan kerajaan negeri, dari segi kelebihan dan faedah jawatan terbabit.

“Sebagai Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kita mesti bertanggungjawab, kita perlu jaga ini (kewangan negeri) dengan baik, jadi perlu ada pengorbanan di sana sini, kita perlu fikirkan perkara yang lebih besar, kita bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya kepada media selepas tampil dalam sesi temubual dengan stesyen radio Perak FM di sini, pada Rabu.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal bertegas, Siti Aishah tetap akan diberikan tempat di dalam kerajaan negeri supaya beliau mempunyai platform untuk memberi sumbangan yang penting dalam pentadbiran pimpinan PH.

“Saya secara peribadi kekal dengan keputusan melantik beliau dengan jawatan yang boleh membantu saya terutamannya dalam membantu golongan belia, saya dapati beliau seorang yang begitu berkebolehan sebagai seorang pemimpin muda,” ujarnya.

Beliau yang juga pengerusi PH Perak turut memberitahu, keputusan mengenai jawatan berkenaan akan diputuskan dalam masa terdekat selepas mendapat pandangan daripada semua pihak.

“Saya sendiri ada berhubung dengan beliau, kita perlu ambil sedikit masa untuk pastikan kedudukan yang paling sesuai untuk beliau dalam pendtadbiran sekarang ini, segala keputusan nanti akan dibuat secara bersama,” ujarnya lagi.

Pada 5 Julai lalu, Siti Aishah diumumkan akan dilantik selaku penasihat Menteri Besar bertaraf exco selepas menarik diri daripada pencalonan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.