BATU GAJAH – Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan peruntukan RM5 juta bagi membina dua gudang di kawasan Kapal Korek TT5 Tanjung Tualang.

Apabila siap kelak, gudang tersebut akan berfungsi sebagai pusat komersial dan aktiviti bagi pelawat yang berkunjung ke kapal korek bijih timah bersejarah dan terakhir yang masih wujud di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata gudang itu merupakan salah satu daripada 12 komponen yang akan dibangunkan di sekitar kapal korek berkenaan.

“Peruntukan RM5 juta untuk membina gudang, iaitu dua buah bangunan yang bertujuan untuk menyediakan pusat komersial yang akan menempatkan gerai dan juga kemudahan untuk para pelawat datang berkunjung.

Dengan adanya kompenan gudang ini kerajaan negeri harapan kita untuk melihat TT5 menjadi kawasan tarikan pelancongan sejarah dalam sektor perlombongan terkemuka di Perak akan menjadi kenyataan,” katanya.

07340004-b2be-46bc-b771-f937d5bc8d24Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan progam Kapsul Masa TT5 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Aminuddin Hashim di kawasan kapal korek berkenan di sini, hari ini.

Nolee Ashilin berkata, pembangunan Kapal Korek TT5 kini di tahap memberangsangkan sejak kerajaan negeri mengambil alih jentera berkenaan pada tahun 2015.

Katanya, pelbagai cabaran dihadapi agensi kerajaan negeri untuk membaik pulih kapal korek terbabit bagi memastikan jentera itu kekal sebagai warisan yang dapat dikongsikan kepada generasi baharu.

Sementara itu, Aminuddin berkata, satu blok bangunan gudang yang akan dibina untuk program acara, manakala satu lagi blok disediakan sebagai ruang perniagaan, terutama untuk komuniti berasaskan pelancongan.

“Kita juga membuat perancangan bersama Datuk Wah Idris untuk mengadakan program bersama-sama dari masa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, Nolee dan Ashilin dan Aminuddin melepaskan burung merpati putih sebagai simbolik perasmian Kapsul Masa TT5.

Mereka kemudian kemudian menulis mesej kisah peribadi dalam satu keratan kertas dan dimasukkan ke dalam kapsul masa.

Kapsul itu akan disimpan di kawasan kapal korek berkenaan dan hanya akan dibuka dan dibaca semula 20 tahun akan datang ketika sambutan ulang tahun ke-100 usia Kapal Korek TT5 pada tahun 2038.