IPOH – Kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) bagi meningkatkan ekonomi negeri terutama terutamanya sektor usahawan setempat.

Exco Kerajaan Negeri, Howard Lee Chuan How berkata, pertemuan dua mata itu melihat kegusaran yang dihadapi usahawan membabitkan potensi dan kekurangan tenaga kerja.

“PUMM menyuarakan kekangan yang dihadapi oleh usahawan antaranya persepsi pelabur terhadap potensi pasaran setempat serta masalah kehilangan dan kekurangan sumber manusia dalam negeri,” katanya.

Beliau menerima kunjungan PUMM yang diwakili Pengerusinya, Tommy Cheng. PUMM merupakan platform usahawan berkongsi idea dan latihan dalam sektor itu.

Menurutnya, suatu strategi baharu perlu dibentuk untuk mengekalkan sumber bakat dan menarik bakat-bakat baharu membabitkan golongan belia.

“Golongan belia merupakan aset penting dalam pembangunan sistem ekonomi negeri. Penambahbaikan infrastruktur merupakan salah satu cara untuk menarik usahawan sekali gus menjadikan Perak sebagai salah satu pangkalan untuk mengembangkan perniagaan.

“Para usahawan juga dinasihatkan supaya menjaga kebajikan sumber tenaga dalam melestarikan perkembangan ekonomi,” katanya.

Howard Lee berkata, perhubungan bersama PUMM dikekalkan bagi membentuk kerjasama melatih sumber manusia dan peluang untuk usahawan.

“Kerajaan negeri berusaha menjadikan Perak sebagai sebuah negeri dijadikan destinasi pilihan pelabur dalam suasana ekonomi yang makmur,” katanya – sinar