TAPAH: Kerajaan negeri menyumbangkan tiga buah van balai polis bergerak berharga RM509,000 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak untuk meningkatkan omnipresence atau kehadiran pasukan keselamatan itu di peringkat daerah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tiga buah balai polis bergerak itu disumbangkan untuk kegunaan enam kawasan di sekitar Perak.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjong Malim akan berkongsi dengan IPD Tapah, IPD Kampar berkongsi dengan Batu Gajah manakala IPD Manjung akan berkongsi dengan IPD Perak Tengah.

“Penambahan kemudahan ini diharap dapat meningkatkan tahap keselamatan para penduduk di kawasan terlibat dan memberi keselesaan kepada anggota polis,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam majlis Ramah Mesra Bersama Warga Polis Tapah dan penyampaian tiga buah van berkenaan di Kuarters IPD Tapah pada malam Khamis.

Turut hadir Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, Ketua Polis Daerah Tapah, Som Sak Din Keliaw dan barisan exco kerajaan negeri.

Dr Zambry turut memberitahu, sumbangan itu merupakan tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap pengorbanan pasukan keselamatan tersebut selama ini.

“Kita menghargai jasa tuan-tuan dan puan-puan yang selama ini membantu menjaga keselamatan rakyat Perak dan membantu program-program kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri akan meneruskan usaha membantu meringankan beban anggota-anggota polis, dari semasa ke semasa akan kita beri pertolongan yang diperlukan,” ujarnya.

Terdahulu, beliau turut menunaikan solat Maghrib berjemaah di surau berdekatan bersama lebih 200 warga kuarters tersebut.

Sementara itu, Som Sak berkata, sumbangan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan keselamatan rakyat terus dipertingkatkan.

Menteri Besar juga mengumumkan sumbangan berjumlah RM50,000 untuk kegunaan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Tapah, Kelab Polis Tapah dan surau kuaters balai berkenaan.