IPOH – Kerajaan negeri memberi sumbangan RM50,000 kepada Sekolah Menengah Agama Al-Islah, Sungai Lampam, Teluk Intan yang mengalami kebakaran pada Khamis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi berkata, sumbangan itu diberikan bagi menampung kos pemabikpulihan segera dan bantuan selanjutnya akan diberikan sekiranya ada keperluan.
“Saya mendapat khabar sedih ini ketika berlangsungnya Persidangan DUN Perak, saya lantas berbincang dengan Menteri Besar Perak,  Ahmad Faizal Azumu dan Pegawai Kewangan tentang kejadian tersebut.
“Kerajaan Negeri Perak akan lakukan yang terbaik bagi meringankan beban pihak sekolah dan para pelajar yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan selepas melakukan lawatan ke sekolah terbabit, hari ini.
Beliau juga dalam masa sama menyeru pihak badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama membantu mengurangkan bebanan sekolah tersebut.
“Saya difahamkan pihak sekolah telah melancarkan tabung bagi memberi peluang kepada semua untuk menyumbang.
“Saya melahirkan rasa syukur kerana tidak membabitkan kemalangan jiwa dan kebakaran tersebut berjaya terkawal. Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat membuat siasatan secara terperinci terhadap kejadian ini,  diharap insiden seperti ini tidak berlaku lagi,” ujarnya.
Pada Khamis, SMA Maahad Al-Islah mengalamai kebakaran melibatkan bangunan asrama tiga tingkat dan menyebabkan bahagian atas tingkat tiga musnah terbakar 60 peratus.