IPOH – Kerajaan negeri menangguhkan semua projek pembangunan di Bagan Datuk yang kini berada di tahap 15 peratus siap.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata keputusan itu dibuat oleh kerajaan persekutuan dan telah dimaklumkan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kepada kerajaan negeri.

“Projek ini bukan dibatalkan tetapi ditangguhkan untuk dibuat kajian semula kerana difahamkan ada projek yang belum sampai 15 peratus siap, tetapi kerajaan persekutuan telah bayar seolah-olah telah siap 80 peratus siap.

“Untuk itu, kajian perlu dibuat dan projek besar ditangguhkan termasuk Bagan Datuk Water City (BDWC),” katanya sambil menambah penangguhan itu dibuat bagi memberi laluan untuk kajian semula kesesuaian pembangunan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) di Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Dewan Negeri ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Menyentuh mengenai pembangunan BDWC, Mohammad Nizar menjelaskan Perbadanan Kerajaan Negeri Perak (PKNP) tidak mempunyai sebarang perancangan dalam tempoh terdekat untuk melaksanakan sebarang kerja fizikal di tapak sehingga mendapat peruntukan dari kerajaan persekutuan.

“Sebanyak 15 projek institusi kerajaan telah dirancang untuk dibangunkan di tapak berkenaan seperti Kompleks Pentadbiran Negeri, Projek Perumahan Rakyat (PPR), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Klinik Kesihatan Daerah dan sebagainya.

“Berdasarkan maklumbalas terkini mengenai status projek berkenaan, projek IPD ditangguh, PPR di dalam peringkat mendapatkan keputusan pihak pengurusan tertinggi berhubung status pelaksanaan manakala Kompleks Pentadbiran Negeri masih diteruskan,” jelas beliau.

Mohammad Nizar menegaskan kesemua projek tersebut termasuk pembangunan infrastruktur oleh PKNP adalah tertakluk di bawah pembiayaan kerajaan persekutuan dengan peruntukan awal sebanyak RM5 juta telah diperoleh pada tahun lalu untuk kajian awalan, manakala cadangan perutukan bagi kerja-kerja pembinaan telah dibawa ke Bengkel Pengurusan NIlai pada 9 hingga 12 April tahun ini.

PKNP dimaklumkan oleh NCIA pada 9 Julai lalu bahawa cadangan peruntukan bagi kerja-kerja pembinaan infrastruktur di BDWC ditangguh.

Menurutnya, bagaimanapun PKNP berharap pembangunan pusat pentadbiran daerah Bagan Datuk dapat diteruskan sekaligus bertindak sebabgai pemangkin kepada pembangunan yang lain.

“Peruntukan awal sebanyak RM5 juta telah diperoleh pada tahun 2017 untuk kajian awalan, manakala cadangan peruntukan bagi kerja-kerja pembinaan telah dibawa ke Bengkel Pengurusan Nilai pada 9 hingga 2 April 2018,” katanya.