IPOH – Pembangkang di Perak seharusnya berusaha menjadi yang terbaik dan bukannya menjatuhkan kerajaan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri pimpinan PH pada hari ini akan terus menjalankan tanggungjawab kepada rakyat dalam apa cara sekalipun.

Katanya, PH tidak memerlukan mana-mana ADUN BN atau Pas melompat bagi menyokong mereka memastikan kerajaan kuat.

“Saya ingat Datuk Saarani (Ketua Pembangkang Perak) ada banyak masa kosong. Mungkin beliau lebih gemar untuk menjatuhkan kerajaan kemudian bila dah jatuh kerajaan PH, kerajaan PH akan bertindak jatuhkan kerajaan BN. Tak ada kesudahan.

“Saya fikir apa yang UMNO dan Pas perlu lakukan adalah untuk menjadi pembangkang yang baik. Sama-sama kita bekerja untuk rakyat, bukannya menjatuhkan kerajaan,” katanya kepada pemberita hari ini selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson kali ke-101 di Padang SMK Anderson.

Menurut Ahmad Faizal, sebelum ini Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad pernah mendedahkan perkara sama dan kali ini ia diulangi.

Katanya, kerajaan Perak bersama-sama Exco Kerajaan Negeri masih baik dan bersama kerajaan.

Beliau berkata, UMNO sendiri sebelum ini mengakui tindakan lompat parti sebelum ini.

Semalam, Saarani mendedahkan masih terdapat usaha memujuk ADUN BN untuk menyingkirkan Ahmad Faizal menerusi undi tidak percaya – sinar harian