IPOH – Kerja untuk melaksanakan projek penyelenggaraan dan naiktaraf jalanraya melibatkan peruntukan RM87.85 juta bagi jalan luar bandar dan laluan Persekutuan di negeri ini akan dimulakan sebaik sahaja kerajaan negeri mendapat kelulusan peruntukan daripada kerajaan Pusat.

Jawatankuasa Kemudahan Awam Dan Infrastruktur, Pertanian Dan Perladangan YB Yunus Jamahri berkata cadangan naiktaraf dan penyelengaraan adalah daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak yang sentiasa prihatin dan peka terhadap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

“Antara jalan-jalan yang dicadangkan dan menunggu kelulusan adalah jalan-jalan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selinsing dan DUN Keranji yang perlu dinaiktaraf, jalan-jalan di Sungai Manik terutamanya di kawasan sawah padi akan dipantau dan diselenggara secara berkesan, jalan utama Gerik-Lenggong (jalan Persekutuan FT076) yang kerap rosak dan memerlukan kerja-kerja menurap.

“Jalan Slim River-Tanjung Malim, (laluan Persekutuan FT 001) iaitu projek pembesaran jalan persekutuan dari 2 lorong ke 4 lorong, laluan persekutuan FT72 Jalan Tanjung Belanja ke Bota Kiri telah dirancang projek Fasa 2 membaru muka jalan sepanjang 2.7 kilometer,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan perbahasan di Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan peruntukan yang telah dipohon oleh JKR Perak untuk kerja menaiktaraf dan menurap jalan-jalan di dalam negeri berjumlah RM87.85 juta.

“JKR Perak telah memohon peruntukan sebanyak RM5 juta untuk naiktaraf jalan-jalan di DUN Selinsing dan DUN Keranji manakala permohonan sebanyak RM20 juta untuk kerja menurap jalan utama Gerik-Lenggong.

“Peruntukan untuk membesarkan jalan Slim River-Tanjung Malim pula sebanyak RM62 juta dan anggaran kos sebanyak RM850,000 untuk projek laluan persekutuan Jalan Tanjung Belanja ke Bota Kiri.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kurau itu berkata pelaksanaan projek Jalan Anak Kurau Kamunting (Fasa 2) dan projek jalanraya di Pekan Tapah (Fasa 2) terpaksa ditangguhkan sementara waktu selaras dengan surat arahan Kementerian Kewangan Malaysia berhubung dengan penambahbaikan tadbir urus dan pelaksanaan perolehan kerajaan serta memberi laluan proses penilaian dan keberkesanan projek tersebut.