IPOH – Kerajaan negeri yakin penubuhan Majlis Penasihat Ekonomi Negeri (MPEN) mampu menyelesaikan masalah kehilangan pakar-pakar dan tenaga kerja profesional anak tempatan ekoran penghijrahan kerana kekurangan peluang pekerjaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber manusia, A. Sivanesan berkata, penubuhan MPEN disasarkan dapat membantu mengalakkan pelaburan ke negeri Perak dengan lebih agresif sekali gus mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Kerajaan negeri masih meneliti dan mengkaji permasalahan ini supaya Perak tidak lagi kehilangna pakar-pakar dan tenaga kerja profesional yang dapat mencurahkan bakti dan kepakaran mereka di negeri ini.

“Saya pasti formula berkesan dapat diterjemahkan tidak lama lagi dan sekiranya terdapat keperluan untuk kita mengubal beberapa dasar untuk penambahbaikan, kita akan lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dari Razman Zakaria (Gunung Semanggol – PAS) ketika persidangan Dewan Undangan Negeri Perak ke-14, di sini pada Rabu.

Tambahnya, beliau juga yakin kerajaan negeri akan mewujudkan beberapa lagi projek-projek yang mampu berfungsi sebagai pemangkin untuk membangunkan sesebuah industri baharu tidak lama lagi.

“Perancangan pembangunan yang strategik amat penting dalam mewujudkan peluag-peluang pekerjaan baharu di segenap pelosok Perak bagi meningkatkan pendapaan rakyat sekali gus merancakkan ekonomi negeri.

“Contohnya projek sambungna paip gas asli dari Ayer Tawar ke Lembah Kinta yang bakal siap tahun 2019 ini, projek ini bakal memberi manfaat kepada pemain industri sedia ada sekali gus menggalakkan mereka melakukan pembesaran syarikat di samping dapat menarik pelaburan-pelaburan baru di sepanjang jajarannya,” jelas beliau.