IPOH: Kerajaan negeri komited untuk menyelesaikan masalah ladang penternakan khinzir dengan melaksanakan konsep Ladang Khinzir Moden (Modern Pig Farm) di negeri ini selewat-lewatnya pada tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, YB A Sivanesan berkata satu jawatankuasa telah dibentuk sebelum ini bagi menguruskan kesemua ladang khinzir, malah kerajaan persekutuan telah memperkenalkan satu dasar dan polisi bagi menggunakan sistem ladang tertutup untuk penternakan babi sehingga tahun 2021.

“Sepatutnya kesemua ladang perlu menggunakan sistem ladang tertutup pada atau sebelum 31 Disember 2018 tetapi kerajaan persekutuan telah menambah tempoh masa sehingga 2021.

“Tetapi Perak tidak akan tunggu sehingga tahun 2021. Kalau boleh, tahun depan kita akan selesaikan masalah ini. Saya mengambil serius perkara ini dan semua jabatan kerajaan perlu memberi kerjasama,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sesi perjumpaan dengan wakil Persatuan Penternakan Khinzir negeri Perak di Bangunan Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak, Dr Ahmad Shafri Hassan dan Pengerusi Persatuan Penternak (Khinzir) Perak, David Lee.

Mengulas mengenai MPF, Sivanesan menjelaskan sistem itu tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana penternak perlu memenuhi beberapa kriteria iaitu melaksanakan sistem kandang tertutup dan sistem pengurusan sisa kumbahan sifar, jarak minimum 200 meter dari rumah kediaman, sekolah, klinik, tempat ibadat serta kemudahan awam selain mengamalkan Amalan Penternakan Baik.

Katanya, sehingga kini hanya 57 daripada keseluruhan 115 ladang penternakan khinzir di negeri ini telah melaksanakan sistem berkenaan.

“57 ladang telah ditukar kepada konsep ladang tertutup iaitu merangkumi 53 peratus, manakala baki 21 ladang beroperasi di atas tanah milik kerajaan dan 34 atas tanah persendirian.

“Antara 21 ladang khinzir ini, enam telah mohon pertukaran lokasi dan baki hanya 15 ladang menggunakan tanah kerajan akan kita syorkan langkah penyelesaian selepas dapat maklum balas daripada jabatan veterinar untuk kelulusan sekiranya menetapi syarat dan kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Empat kriteria yang ditetapkan itu adalah kandang tertutup; sistem pengurusan sisa kumbahan sifar; jarak minimum 200 meter dari rumah kediaman, sekolah, klinik, tempat ibadat serta kemudahan awam; dan mengamalkan Amalan Penternakan Baik.

Pada pertemuan itu, Persatuan Penternakan (Khinzir) Negeri Perak telah menyumbangkan sebanyak RM450,000 kepada Tabung Harapan Malaysia.