KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengumumkan sumbangan RM100,000 kepada Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) sebagai penghargaan terhadap jasa pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara.

Sumbangan itu diumumkan pada pelancaran Program Kembara Bermotosikal TAWP Sempena Hari Polis Ke-211 di pekarangan kediaman rasmi beliau di Jalan Teluk Sisek dekat sini, pagi ini.

Adnan dalam ucapannya berkata, sumbangan itu adalah daripada kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Sumbangan ini kecil berbanding jasa mereka menjaga keselamatan kita. Perlu ingat, tanpa kesungguhan polis dan tentera, mungkin kita tidak dapat hidup dengan aman seperti yang dinikmati hari ini.

“Mereka meluangkan hampir keseluruhan masa untuk memberi khidmat terbaik kepada kita. Sudah pasti, kerajaan negeri memberi sokongan penuh kepada usaha mereka,” katanya.

Yang turut hadir, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Abd Rahman, serta Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Kira-kira 90 pegawai kanan PDRM menyertai konvoi kembara selama tiga hari itu yang melalui empat negeri, iaitu Selangor, Perak, Pahang dan berakhir di Negeri Sembilan – berita harian