IPOH: Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) tetap komited untuk melaksanakan semua janji yang telah dibuat kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu menegaskan, pihaknya tidak akan akan berkompromi mengenai perkara itu.

Beliau mengulangi bahawa pihak kerajaan negeri tetap menjunjung prinsip “kerajaan dari rakyat, oleh rakyat, kepada rakyat”.

“Kita berada di sini hari ini kerana rakyat, oleh itu, selagi mana saya diberi amanah untuk menerajui negeri tercinta ini, pentadbiran hari ini akan kekal sebagai kerajaan milik rakyat,” katanya ketika memberi ucaptama sesi Bicara Harapan Rakyat siri 1 di Casuarina@Meru di sini, hari ini.

YAB Ahmad Faizal berkata, isu pemilikan hak milik tanah kekal adalah antara isu yang paling hangat dibincangkan di kalangan rakyat dan pemimpin-pemimpin politik, baik di pihak kerajaan dan pembangkang.

Malah, katanya, isu itu juga telah dibincangkan secara begitu meluas di seluruh negara.

“Saya amat memahami keluh kesah di kalangan rakyat apabila isu pemberian hak milik kekal tanah Felda, kampung tersusun dan kampung baru apabila perkara ini disentuh dalam penggulungan saya di Sidang Dewan Undangan Negeri Perak pada Julai lalu.

“Suka saya jelaskan di sini bahawa saya tidak pernah sama sekali berniat atau bertingkah yang bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan yang menjadi denyut nadi perjuangan kita dalam memartabatkan hak-hak rakyat yang kita kasihi,” ujarnya.
Akan tetapi, kata beliau, di dalam melunaskan janji dan melaksanakan manifesto itu, timbul pandangan-pandangan yang perlu diperhalusi.

Justeru, tambahnya, sebagai Menteri Besar yang bertanggungjawab, adalah menjadi kewajipan kerajaan negeri untuk membuka ruang perbincangan bagi mendengar pandangan dari semua pihak dalam melaksanakan akujanji kerajaan.

“Pendirian ini adalah bertunjangkan kepada prinsip perjuangan Pakatan Harapan sendiri, iaitu mempertahankan Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

“Barang tentu, dalam kita membuka ruang untuk mendengar hikmah dan pandangan semua pihak ini, timbul bermacam andaian dan tuduhan, hinggakan ada pihak yang cuba mengangguk di air yang keruh dan mendakwa wujud perbalahan di kalangan kita.” ujarnya.

Beliau menegaskan, sebagai kerajaan yang terbuka, pihaknya sentiasa meraikan perbezaan pandangan atas prinsip demokrasi dan keterbukaan.

“Akan tetapi, ini tidak bermakna kita tidak sehaluan. Bak kata pepatah, “biduk berlalu, kiambang bertaut”, prinsip meraikan perbezaan inilah yang sebenarnya kekuatan kita dan bukan faktor yang memecahbelahkan kita. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana maufakat,” kata beliau.

Beliau memberitahu segala pandangan yang diberikan semasa sesi itu akan dikumpul untuk dipanjangkan kepada pihak yang berkaitan di peringkat kemimpinan tertinggi Pakatan Harapan dan juga Kerajaan Pusat untuk diperhalusi dan dikaji.