IPOH: Tindakan kerajaan PAS Kelantan yang membenarkan kekerasan digunakan dalam menangani isu masyarakat Orang Asli di negeri itu telah memberikan imej yang buruk kepada pihak pembangkang.

Menurut Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar Devaraj yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), kerajaan PAS sepatutnya menunjukkan contoh tauladan dan imej yang baik kepada rakyat dan bukannya membenarkan kekerasan digunakan dalam menangani isu berkenaan.
“Orang ramai akan kata, diapun buat you pun buat apa bezanya, jika kita mahu rakyat pilih pembangkang kita kena tunjuk pembangkang ini ada standard yang lebih baik daripada BN tapi kita lebih kurang sama,’’ katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan satu memorandum berhubung isu kesengsaraan Masyarakat Orang Asli Pos Tohoi, Pos Simpor, Kelantan kepada Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria di Ibu Pejabat PAS Perak, Medan Istana, Ipoh pada Khamis.

Pesuruhjaya PAS Perak itu bagaimanapun tidak hadir di pejabat dan Jeyakumar telah menyerahkan memorandum itu kepada seorang kakitangan Ibu Pejabat PAS Negeri Perak.

Turut serta tujuh wakil NGO termasuk ABIM, IKRAM, PASMA, Persatuan Aktivis Alam Sekitar (KUASA), Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA) dan Hindraf People’ Movement dan Mama Bersih Ipoh.
Menurut beliau, PSM dan tujuh kumpulan NGO Perak menzahirkan rasa kecewa berhubung insiden kelmarin dimana seramai 32 orang Orang Asli telah ditangkap dan beberapa buah rumah sementara yang didirikan di kawasan blockade diruntuhkan oleh pihak berkuasa.

“Tindakan kekerasan terhadap masyarakat Orang Asli yang cuba menghalang aktiviti pembalakan di kawasan tanah adat mereka di Pos Simpur, Pos Gob, dan Kuala Bering, Kelantan amat mengecewakan kami,” katanya.

“Kerajaan PAS Kelantan sepatutnya mengadakan rundingan dan mendengar permasalahan masyarakat Orang Asli di perkampungan berkenaan dan tidak menggunakan kekerasan seperti yang berlaku dalam insiden kelmarin,” katanya.

razman-zakaria2
Sehubungan itu beliau meminta Pesuruhjaya PAS Perak menasihati kerajaan PAS Kelantan supaya menangani masalah yang dihadapi masyarakat Orang Asli diperkampungan berkenaan dengan baik.

“Kita serahkan memorandum ini kerana kita mohon jasa baik Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria menasihati Kerajaan PAS Kelantan supaya mengambil langkah menyelesaikan permasalahan yang dihadapi masyarakat Orang Asli ini secara baik tanpa menggunakan kekerasan,” katanya.