IPOH – Kerajaan Perak akan mewujudkan tabung khas untuk usahawan di negeri ini dan perinciannya diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2019, hujung bulan ini.

Exco Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi berkata, selain tabung yang pertama kali diwujudkan itu, skim mikrokredit juga akan dijenamakan semula membabitkan dua kategori iaitu pinjaman untuk memulakan perniagaan dan mengembangkan perniagaan.

“Selama ini kita berikan ialah kepada usahawan yang nak memulakan perniagaan tetapi nak mengembangkan itu berdepan masalah (pinjaman).

“Insya-ALLAH kita akan berikan tumpuan kepada mereka yang nak mengembangkan lagi bukan setakat nak bermula,” katanya pada sidang media selepas pelepasan Konvoi Santai Anak Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Menurutnya, program tersebut akan dikendalikan Yayasan Perak dan pengumuman rasmi akan dibuat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 27 November ini.

Sementara itu, Asmuni berkata, penganjuran konvoi itu bersempena karnival usahawan Santai Anak Perak yang diadakan pada 28 November ini di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya.

“Seramai 300 peserta menyertai konvoi tersebut bermula di Bangunan Perak Darul Ridzuan ke Manjoi sebelum meneruskan perjalanan ke Lumut dan dalam masa sama karnival ini dapat memberikan galakan untuk terus bergiat di dalam aktiviti ekonomi dengan lebih maju lagi.

“Ini adalah usaha bagi membantu usahawan muda dan Kerajaan Perak memberikan sokongan sepenuhnya kerana ia akan memberikan impak yang besar kepada kegiatan ekonomi mereka,” katanya.

Menurutnya, penganjuran karnival itu nanti akan melibatkan 200 gerai jualan selama tiga hari dengan sasaran pengunjung 90,000 orang – sinar