TAIPING: Kerajaan negeri Perak akan membantu kebajikan lagenda bola sepak negara, Datuk Namat Abdullah yang kini menghidap kanser usus tahap 4.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, bantuan itu termasuk kos rawatan yang diperlukan dan beberapa kemudahan lain.

Menurutnya, kerajaan negeri akan mempastikan kebajikan setiap atlet dan pemain, termasuk yang telah bersara mendapat perhatian sewajarnya.

“Saya mewakili Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) sudah berbincang dengan keluarga Namat mengenai apa yang diperlukannya bagi memastikan kebajikannya terbela.

“Beliau merupakan seorang pemain bolasepak yang telah mengharumkan nama negara hingga ke peringkat antara bangsa dan kerajaan negeri tidak akan abaikannya,” katanya ketika melawat Namat dikediamannya di Taman Larah Aman di sini, hari ini.

Sempena lawatan tersebut, Khairul Shahril turut menyampaikan sumbangan kepada lagenda bola sepak negara itu.

Namat, 74, menghidap kanser usus tahap 4 sejak 2015 dan akan menjalani kemoterapi di Hospital Pulau Pinang, 15 Jun ini.

Namat dan isterinya, Datin Mahani Sulaiman, 72, kini tinggal dengan anak perempuannya Monaliza Namat, 38 dan menantunya Zulizwar Mohd Bakir, 39 sejak dua bulan lalu.

Khairul Shahril berkata kerajaan negeri tidak melupakan mereka, bekas atlet, contohnya membantu bekas pemain bolasepak Perak dan penjaga gol hoki kebangsaan, Ahmad Sufian Zulkifli untuk rawatan pembedahan jantung.

Sementara itu, Namat berkata, beliau terharu dengan kedatangan rakan-rakan yang melawatnya di sini setelah tidak menemui mereka sejak beberapa tahun lalu.

“Saya juga berterima kasih kepada kerajaan negeri yang masih menghargai sumbangan dalam bola sepak dan membantu meringankan bebannya,” katanya yang berkerusi roda sejak diserang angin ahmar pada 2015.

Namat merupakan tonggak pertahanan negara yang pernah beraksi bersama skuad Olimpik di Munich pada 1972.

Terdahulu beberapa bekas pemain bola sepak yang pernah bermain dengan Namat seperti Datuk Soh Chin An, Datuk Ramli Mahmud, Datuk Abdah Alif dan Yunus Alif meluang masa lebih 45 minit melawat Namat di samping memberikan kata-kata semangat kepadanya.