IPOH – Kerajaan Perak bercadang membina sebuah klinik kesihatan baharu di kawasan Hulu Kinta bagi menjamin kemudahan rawatan kesihatan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan berkata, pembinaan klinik kesihatan baharu itu diharapkan dapat membantu menangani peningkatan jumlah pengunjung di Klinik Kesihatan Chemor berikutan pertambahan penduduk.

Menurutnya, cadangan mengenainya akan dibawa pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 25 Julai ini.

“Kita merasakan sudah tiba masanya kawasan Hulu Kinta ini memiliki sebuah klinik kesihatan yang baru. Klinik sedia ada ini mungkin akan kita perbesarkan lagi atau pindahkan ke Klebang.

“Bagaimanapun kita akan melaksanakan kajian lanjut berhubung perkara ini dan ia akan dibincangkan pada sidang Dewan Negeri nanti,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Chemor di sini hari ini.

Difahamkan, Klinik Kesihatan Chemor yang siap dibina pada 1985 mengalami peningkatan jumlah pengunjung menyebabkan ia perlu ditambah baik.

Sementara itu, Sivanesan berkata, sejumlah RM30 juta diperuntukkan bagi pembinaan sebuah klinik kesihatan baharu di Hutan Melintang.

“Peruntukan ini sudah ada dan kita jangkakan ia akan siap dibina dalam tempoh tiga tahun dari sekarang,” katanya.

 

-SINARHARIAN