IPOH: Kerajaan negeri Perak amat menghargai usaha Pantai Hospital Ipoh (PHI) meningkatkan kesedaran kesihatan dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Intergrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, YB A. Sivanesan berkata, kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan kepada hospital itu bagi menjayakan program yang dapat membantu komuniti memperbaiki taraf kesihatan dan hidup mereka.

Sehubungan itu, beliau menyeru agensi kerajaan, swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus memberi kerjasama dan sokongan terhadap usaha PHI itu.

Menurut beliau, sejak diwujudkan kira-kira 20 tahun lalu, PHI telah berkembang dengan pelbagai kemudahan, penambahan doktor dan peralatan perubatan sehingga menjadikannya sebuah hospital premium.

“Sekiranya kita ibaratkan hospital ini sebagai manusia, di usia dua puluhan ini, ia telah menjadi dewasa dengan visi yang jelas dan jitu,” katanya ketika berucap mewakili Menteri Besar pada Majlis Aidilfitri 2018 bersama rakan bersekutu PHI di sini, malam ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PHI, Chong Siet Fong berkata, sebagai sebuah organisasi yang prihatin, PHI telah menganjurkan program CSR Khazanah IHH Healthcare Fund bagi membantu pesakit kurang berkemampuan mendapatkan rawatan percuma.

Menurutnya, sejak diperkenalkan pada 2012 hingga 2018, mereka telah membelanjakan kira-kira RM6.2 juta bagi rawatan dalam disiplin kardiologi, ortopedik, onkologi, pembedahan umum dan mata kepada 256 pesakit.

Beliau menambah, bagi tahun ini sahaja, sebanyak RM450,000 diperuntukan di bawah program CSR itu.

“Kami ingin merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada para doktor PHI dan beberapa NGO yang terlibat di dalam program ini,” ujarnya.