IPOH – Isu pengangguran dan kesukaran untuk mendapat peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat India, dikatakan masih berada di takuk yang sama.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Masyarakat Sivil, Orang Asli, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Pengguna, YB A. Sivanesan berkata, tepat pada masanya untuk Kerajaan sedia ada melaksanakan manifesto yang menyasarkan 10 peratus pekerja kaum India dalam sektor awam.

“Saya akan berbincang dengan Menteri Tenaga Manusia, YB M.Kulasegaran tentang pelaksanaan 10 peratus kuota bagi masyarakat India mendapat peluang kerja.

10 Peratus Kuota Pekerja India

“Kalau kita dapat laksanakan secara berkesan, masalah seperti ini takkan ada, malah Perdana Menteri, Tun Mahathir juga akui bahawa masyarakat India terpinggir dari pembangunan dan harus diberi perhatian

Semuanya anak Malaysia, Melayu, Cina atau India dan anak-anak kita ini mesti dapat hak yang sama dan tidak boleh diskriminasi sesiapa hanya kerana bangsa dan agama,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas nasib dialami oleh lepasan graduan dari Universiti Teknologi Petronas (UTP), M. Devendraa, 25, yang sehingga kini tidak mendapat tempat dalam sektor kerajaan dan swasta.

Sivanesan ditemui pemberita dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.

Sementara itu, Devendraa yang berkelulusan Kejuruteraan Kimia berkata, sehingga kini dia masih mencari pekerjaan yang bersesuaian di samping melakukan kerja sampingan seperti tuisyen dan Grab.

“Saya ada memohon pada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), tahun 2016 sampai sekarang tiada jawapan, malah pihak UTP pun maklumkan yang tiada kekosongan untuk pekerjaan,” ujarnya.

Antara yang tersenarai dalam manifesto untuk masyarakat India seperti menyelesaikan masalah komuniti India yang tidak mempunyai kewarganegaraan dalam 110 hari, GLC menyasarkan 10 peratus pekerja India serta memberi latihan kepada ibu tunggal kaum India.