PARIT BUNTAR – Kerajaan PH Perak memberi jaminan bakal menawarkan rumah mampu milik kepada kesemua 62 penduduk asal Kampung Tepi Sungai, Dennistown, di sini yang terpaksa berpindah dari penempatan itu sejak empat tahun lalu.

Exco Kerajaan Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, jaminan itu bukti keprihatinan kerajaan negeri susulan kesemua penduduk asal terbabit kini kehilangan penempatan ekoran arahan pengosongan Kampung Tepi Sungai, Dennistown bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) pada tahun 2014.

Sebelum ini, kesemua penduduk terbabit merayu kerajaan PH Perak menunaikan janji kerajaan negeri terdahulu dalam membantu menyediakan rumah kepada mereka sejurus mereka bersetuju berpindah dari kampung diduduki sejak lebih 70 tahun lalu.

Menurutnya, isu penyelesaian tuntutan 62 penduduk asal kampung terbabit memang sulit ditangani kerajaan PH Perak, lebih-lebih lagi janji tersebut ditaburkan kerajaan negeri terdahulu.

“Memang kita akan lunas janji itu, cuma pada peringkat sekarang, kita berhadapan sedikit masalah teknikal dengan pemaju tanah dilantik kerajaan negeri terdahulu untuk membangunkan sebidang tanah kerajaan di Dennistown sebagai pusat penempatan baharu.

“Pada masa ini, kita melihat janji itu akan memakan masa ditunaikan kerana aspek pembangunan di pusat penempatan baharu di Dennistown seperti kuarters dan sebagainya akan membebankan kewangan kerajaan negeri jika dilaksanakan serentak.

“Namun, kerajaan PH Perak berjanji mana-mana penduduk asal Kampung Tepi Sungai Dennistown terbabit arahan pengosongan penempatan tempoh hari akan diutamakan untuk memiliki rumah di kawasan pembangunan penempatan baharu di Dennistown kelak,” katanya kepada media di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri.

Dalam perkembangan lain, Hasnul Zulkarnain yang juga Adun Titi Serong menegaskan pentadbiran daerah Kerian juga sudah bersiap sedia bagi menghadapi ancaman banjir susulan kehadiran musim hujan ketika ini.

Menurutnya, dalam mesyuarat Exco diadakan semalam, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mengarahkan kesemua Exco kerajaan negeri dan Adun-Adun untuk memastikan kesemua daerah di Perak bersiap siaga bagi menangani banjir.

“Dalam mesyuarat itu, kerajaan negeri juga sudah mengenal pasti beberapa tempat yang perlu diberikan perhatian untuk dilaksanakan kerja menaik taraf sistem perparitan, memperbaiki ban dan tebing dan mendalamkan sungai.

“Diharapkan dengan kerjasama semua agensi kerajaan, masalah kemungkinan banjir akan dapat ditangani dengan berkesan dan sistematik,” katanya – sinar