IPOH: Kerajaan negeri akan melaksanakan sebuah gerakan dalam
skala besar-besaran untuk memperkasakan pendidikan di pelbagai peringkat selaras dengan transformasi pendidikan negara.

Menteri Besar Perak, YAB MB Ahmad Faizal Azumu berkata komitmen tersebut merupakan salah satu pendekatan untuk mereka mendepani cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pelajar pada hari ini.

Katanya, ianya bertepatan dengan objektif kerajaan negara yang menjadi penggerak utama dalam jihad memerangi kemiskinan agar ianya tidak menjadi penghalang dalam meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Gerakan besar-besaran itu adalah untuk meningkatkan penguasaan pendidikan di semua peringkat, bermula dari sekolah rendah, menengah sehingga ke insititusi pengajian tinggi, selaras dengan perubahan yang mendatang.

“Kerajaan Pakatan Harapan Perak sedar akan masa depan generasi muda sekarang dan generasi akan datang, sangat bergantung kepada keputusan dan polisi dan tindakan yang kita buat pada hari ini.

Oleh yang demikian, kerajaan Perak akan mengorak langkah menjalankan kajian yang mendalam dan komprehensif untuk mengenalpasti kaedah dan pendekatan untuk memperkasakan pendidikan di negeri ini supaya selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara dan juga perkembangan teknologi automasi, Artificial Intelligence (AI) dan Information of Technology (IoT),”katanya .

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Perak 2018 di Dewan Seri Perdana, ILKKM Tanjung Rambutan, Ulu Kinta di sini,hari ini.

Jelasnya, untuk mencapai sasaran itu pihaknya juga akan mendapatkan pandangan dari warga pendidik dan ilmuan dalam pelbagai bidang serta penggubal dasar pendidikan bagi mencari kaedah terbaik dalam memperkasakan pendidikan pada skala besar.

“Sudah tiba masanya, kerajaan negeri muncul sebagai penggerak utama atau prime mover dalam gerakan besar-besaran memperkasakan sistem pendidikan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan semua institusi pendidikan berkaitan, serta sokongan dari para pihak industri.

“Di antara perancangan utama kita adalah untuk melancarkan jihad mengurangkan keciciran pelajar di sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri Perak, bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan,”ujarnya lagi.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata selain itu pihaknya juga akan memberikan tumpuan bagi membantu para pelajar yang mengalami masalah dalam pembelajaran supaya mereka merasakan tidak terus tercicir dari pendidikan.

Katanya, kerajaan negeri tidak ingin melihat faktor kemiskinan dan keluarg menjadi menjadi penghalang kepada anak-anak untuk mendapat pendidikan yang sempurna.

“Kita akan mencari kaedah bagi memastikan anak-anak dari keluarga miskin, baik di bandar dan luar bandar, serta anak-anak dari kaum Orang Asal tidak tercicir dari pendidikan. Usaha ini akan digerakkan di semua peringkat hingga ke akar umbi.

“Selain itu, kerajaan negeri juga akan memastikan mana-mana pelajar yang layak melanjutkan pelajaran ke insititusi pengajian tinggi tetapi menghadapi kekangan kewangan, akan mendapat bantuan dan pembelaan sewajarnya. Kemiskinan bukan untuk diwarisi dan kita mahu mengubahnya dengan memperkasakan bidang pendidikan di Perak,”katanya lagi.

Ahmad Faizal, juga menegaskan bahawa pendekatan terbaik untuk memastikan generasi muda mendapat akses kepada pendidikan dan latihan yang sesuai dengan permintaan pasaran kerja yang selari dengan cabaran dan peluang yang mendatang.

Malah, pihaknya komited untuk menggubal satu perancangan atau road map bagi memastikan pembangunan modal insan di Perak akan mengambil kira semua faktor ini.

“Saya ingin memberi jaminan, yang kerajaan ini mempunyai komitmen dan “political will” yang tinggi buntuk menggerakkan usaha ini. Saya akui, jihad ini akan melalui pelbagai onak dan duri, tetapi kita tidak akan mudah menyerah kalah.

“Selagi mempunyai daya dan kuasa, serta dengan Izin-Nya jua, kita akan terus berjuang menjunjung pendidikan sebagai wadah mengembalikan kecemerlangan negeri Perak dan masa depan yang cemerlang dan terbilang,”ujarnya.