IPOH:  Kerajaan negeri Perak dengan kerjasama sebuah kolej swasta, PIA College di Jalan Raja Permaisuri Bainun di sini akan menaja empat atlet dari negeri ini yang berkelayakan bagi mengikuti pengajian di peringkat sijil atau diploma berasaskan seni dan reka bentuk.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri Howard Lee Chuan How berkata antara kursus yang ditawarkan ialah reka bentuk grafik, reka bentuk dalaman, reka bentuk media digital serta sijil kemahiran teknologi kejuruteraan mekatronik dan sijil kemahiran reka bentuk dan animasi yang mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Katanya sebagai permulaan, seramai empat atlet berusia di bawah 30 tahun akan ditaja sepanjang pengajian berkenaan yang mana dua atlet ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negeri manakala dua lagi ditaja oleh kolej berkenaan membabitkan pembiayaan kos pengajian kira-kira RM20,000 setiap seorang.

“Kita akan menaja lebih ramai lagi atlet yang mahu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sekiranya kerjasama ini membuahkan hasil yang memberangsangkan.

“Tawaran pengajian kepada atlet membolehkan mereka mempunyai perancangan dan persediaan masa hadapan selepas bersara daripada dunia sukan selain dapat mengimbangi kemajuan akademik dan sukan dalam kalangan atlet,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Lee berkata seramai 200 atlet dijangka menyertai kejohanan bina badan peringkat negeri iaitu ‘Perak Super Bodybuilding and Physique Championship 2019’ atau Mr Perak yang akan diadakan selama dua hari bermula esok.

Beliau berkata sesi pendaftaran akan diadakan di taman tema Lost World of Tambun manakala pertandingan akhir pula akan diadakan di Hotel Syeun.

“Penganjuran pertandingan kejohanan ini merupakan satu platform kepada mereka yang menyertainya selain mampu merancakkan ekonomi pelancongan di Perak,” katanya.

Sementara itu, Lee berkata Kejohanan Woodball Antarabangsa Terbuka Malaysia kali ke-22 akan dianjurkan di Taman Dr Seenivasagam di sini selama enam hari bermula 27 Julai ini.

Beliau berkata kerajaan negeri turut menaja sebanyak RM15,000 bagi menjayakan kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Woodball Malaysia dan Persatuan Woodball Negeri Perak.

Katanya kira-kira 200 peserta dari dalam dan luar negara akan menyertai kejohanan itu antaranya dari China, Indonesia, Taipei, Singapura, Pakistan, Jepun dan Hong Kong.

“Kejohanan ini akan memberi peluang kepada rakyat di negeri ini mengenali sukan woodball dengan lebih dekat lagi sekali gus dapat merealisasikan usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Perak sebagai bandar raya sukan.

“Selain itu, kejohanan ini membantu mempromosikan Perak di seluruh dunia sekali gus menjadi aset pelancongan kepada negeri ini khususnya,” katanya.

 

 

= BERNAMA