IPOH: Kerajaan Perak prihatin dengan keresahan waris peserta larian Gopeng Ultra Trail 2019 (GUT 2019) Mohammad Ashraf Hassan, 29 atau Acap yang hilang ketika mengikuti larian itu pada 23 Mac lalu dan masih belum ditemui sehingga kini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata beliau bersimpati atas kejadian itu dan apa yang sudah diusahakan kerajaan negeri setakat ini adalah mengarahkan pihak serta agensi terbabit untuk meneruskan usaha mencari Acap di seluruh lokasi yang sudah dikenal pasti.

“Isteri saya juga (Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi) sudah melawat keluarga dan waris Acap di kawasan berkenaan. Saya tidak sempat melawat keluarga dan waris mangsa, tetapi saya rasa begitu simpati dengan isteri beliau.

“Saya dengar ibunya juga berada di sini (membantu pencarian),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kad Perak Prihatin di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Ahmad Faizal juga meminta orang ramai yang bersimpati dengan tragedi itu untuk bersama-sama membantu pihak berkenaan yang masih meneruskan pencarian selain memanjatkan doa serta melakukan solat hajat supaya Acap dapat ditemukan.

“Pada masa yang sama, kita jangan lupa kekuasaan Allah, maka kita juga mengadakan solat hajat bagi Allah membuka ruang dan mempermudahkan urusan pencarian saudara Acap ini,” katanya.

Kehilangan Acap yang sudah masuk hari ke-19 menimbulkan pelbagai spekulasi dan cerita misteri, malah media semalam turut melaporkan penafian Polis Johor bahawa Acap sudah dijumpai selamat di negeri berkenaan, sebagaimana viral di media sosial.


Kehilangan Acap yang sudah masuk hari ke-19 menimbulkan pelbagai spekulasi dan cerita misteri.

Media sebelum ini turut melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengesahkan menerima maklumat berhubung bau busuk dan kesan tompokan hitam yang dipenuhi langau dan lalat di kawasan Hutan Simpan Bukit Kinta, namun mengesahkan ia tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan Acap.

Pada 23 Mac lalu, Acap yang berasal dari Muar, Johor, disedari hilang selepas tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas bagi kategori 25 kilometer (km).

Kisah kehilangan Acap sejak lebih dua minggu lalu itu menjadi tumpuan masyarakat dengan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan hingga hari ini oleh bomba selain sukarelawan yang datang dari segenap pelusuk negara termasuk dari Sabah serta Sarawak – Berita harian