IPOH : Walaupun Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Azumu mengumumkan kerajaan negeri itu masih berfungsi seperti biasa, seorang pakar Perlembagaan pula menyifatkan kerajaan itu hanya sebagai ‘caretaker’.

Naib Pengerusi DAP Perak yang juga Exco kerajaan negeri itu, Dr Abdul Aziz Bari berkata, mereka hanya melakukan tugas-tugas rutin di samping meneruskan perkara yang telah dirancang.

Beliau berpendapat, apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada Pakatan Harapan pada Isnin, bermakna tiada lagi Menteri Besar dan kerajaan di Perak, seperti yang berlaku pada kerajaan Persekutuan.

“Apabila parti Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan tengahari semalam, maka dengan itu secara implikasinya, efectively kita tidak ada Menteri Besar.

“Dari segi prinsip, dari segi undang-undang, apabila Perdana Menteri, Menteri Besar ataupun Ketua Menteri sama ada meninggal dunia, meletakkan jawatan atau tidak lagi memegang jawatan itu, maka seluruh kabinet, iaitu kabinet dan exco adalah gugur ataupun tidak lagi wujud secara automatik bersama-sama dengan pemegang jawatan tadi.

“Jadi dengan kata lain, selepas Bersatu keluar daripada PH, maka di Perak tidak ada kerajaan lagi dan secara automatik, yang tinggal ataupun kerajaan yang ada itu adalah kerajaan sementara ataupun caretaker goverment,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal dalam kenyataan yang dikeluarkan tengahari Selasa berkata, di sebalik perkembangan yang berlaku di peringkat kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Perak masih berfungi seperti biasa.

Katanya, beliau masih melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri Besar, seperti yang diamanahkan dan kekal mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Perak.

Dalam masa sama, barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) juga masih menjalankan tanggungjawab masing-masing seperti biasa.

Kerajaan negeri Perak dikatakan antara beberapa negeri yang terkesan berikutan pengumuman Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan pada Isnin.

Dengan pengumuman itu, menjadikan Pakatan Harapan Perak tinggal 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 59 kerusi.

Bilangan itu termasuk seorang ADUN Bebas, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi yang keluar Barisan Nasional kerana menyokong Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Bersatu Perak mempunyai dua kerusi, Barisan Nasional (25) dan Pas (3).