IPOH : Kerajaan negeri Perak sedang berusaha mendapatkan pengecualian cukai bagi pembelian 16 buah kereta Toyota Camry yang digunakan oleh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sekiranya permohonan pengecualian cukai itu tidak berjaya, bagi pihaknya pembelian kesemua kereta itu adalah berpatutan.

“Tanpa pelepasan cukai, urus janji yang diberikan syarikat kereta tersebut seperti percuma yuran penyelenggaraan selama lima tahun dan sebagainya mengurangkan perbelanjaan kerajaan negeri daripada segi penggunaan para exco dan menteri besar,” katanya.

Ahmad Faizal bercakap kepada pemberita pada majlis taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Penanam Sawit Perak di sini hari ini. Hadir sama, Menteri Perusahaan Utama Teresa Kok.

Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pembelian kereta Toyota Camry oleh beberapa kerajaan negeri baru-baru ini termasuk Perak tidak mendapat pengecualian cukai kerana kenderaan itu bukan dipasang dalam negara (CKD).

Menurut kenyataan itu, kementerian tidak pernah menerima permohonan untuk pengecualian duti atau cukai atas perolehan Toyota Camry import tersebut.

Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan kementerian bawah tiada permohonan pengecualian cukai diberikan oleh Perak, Ahmad Faizal berkata perkara itu perlu dirujuk dengan pegawai kewangan negeri.

“Semua sedia maklum bukan MB atau exco yang membuat proses tersebut, esok ada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri maka saya akan bangkitkan perkara ini,” katanya.

Pada 24 Julai lalu, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi memberitahu persidangan Dewan Undangan Negeri harga pasaran seunit kereta Toyota Camry itu adalah RM190,000, namun kerajaan negeri membelinya pada harga RM109,000 seunit iaitu penjimatan sebanyak RM81,000 menerusi rebat cukai.

-BERNAMA