KUALA LUMPUR : Kerajaan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) Pembukaan Semula Ekonomi yang menerangkan lebih terperinci syarat untuk dipatuhi peniaga dan syarikat selain lanjutan tempoh operasi beberapa sektor tertentu berbanding sebelum ini.

SOP yang kini sudah boleh diakses di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah versi yang dikemaskini daripada SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini.

Terdapat 28 lampiran membabitkan 27 sektor antaranya sektor makanan, alam sekitar, pendidikan, kesihatan, kewangan, pembinaan, pengangkutan, peruncitan, minyak dan gas, perkhidmatan berkaitan guaman dan komunikasi dan teknologi maklumat.

Antara penambahbaikan dalam SOP yang dikemaskini itu ialah majikan di dalam sektor makanan perlu melakukan saringan kesihatan dengan mengambil suhu badan dan disaring untuk mengesan gejala setiap hari.

Selain itu, pekerja yang mempunyai suhu melebihi 37.5 selsius dan menunjukkan simptom seperti sakit tekak, batuk, selsema, susah bernafas tidak dibenarkan bertugas.

Bagi sektor Ar-Rahnu dan koperasi kredit, Ar-Rahnu kini dibenarkan untuk beroperasi tujuh hari seminggu dari jam 8 pagi – 6 petang berbanding 9 pagi hingga 2 petang sebelum ini.

Bagi koperasi kredit, ia juga dibenarkan untuk beroperasi tujuh hari seminggu dari jam 8 pagi hingga 6 petang berbanding 8.30 pagi hingga 5.30 petang sebelum ini.

Bagi sektor pengangkutan udara, ia kini dibenarkan untuk beroperasi 24 jam membabitkan penerbangan berjadual, tidak bejadual dan kargo berbanding sebelum ini jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

Selain itu, dalam semua sektor, kerajaan turut menekankan keperluan kepada pekerja dan pelanggan untuk memuat turun dan mendaftar aplikasi MySejahtera ke dalam telefon bimbit masing-masing bagi tujuan pengesanan kontak rapat. -BH