KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menerima kritikan bertali arus daripada pelbagai pihak berhubung langkah kementeriannya yang melonggarkan peraturan penggunaan cermin gelap penumpang belakang bermula hari ini.

Jika semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan respon bahawa agensi penguatkuasa itu bakal berdepan situasi sukar dalam menguatkuasakan undang-undang trafik, perkara sama turut disuarakan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mempertikai keputusan tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia berpendapat, perkara yang diumumkan oleh Anthony itu bakal mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan.

Shahrir Adnan

Ketua Pemudanya, Shahir Adnan berkata, alasan yang diberikan oleh Anthony iaitu faktor permintaan yang tinggi daripada rakyat Malaysia termasuk faktor kesihatan sehingga kepada menjana pendapatan negara merupakan satu alasan yang lemah tanpa berfikir kepada aspek keselamatan terhadap pengguna jalan raya.

“Persoalannya, adakah kajian sudah dibuat secara menyeluruh?

“Berdasarkan laporan media, pihak polis tidak bersetuju dengan peraturan baru ini apabila dimaklumkan sendiri oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

“Jelas, kajian menteri tidak komprehensif dan keputusan dibuat terburu-buru,” katanya.

Shahir berkata, pemasangan cermin gelap bakal mengundang lebih banyak keburukan melangkaui kebaikan termasuk dari segi aspek keselamatan dan jenayah.

Dengan memberikan contoh, situasi jenayah di mana penjenayah boleh berselindung di sebalik cermin gelap yang memungkinkan berlakunya kejadian culik melibatkan kanak-kanak yang disembunyikan ditempat duduk belakang.

“Golongan wanita juga terdedah kepada mudarat jika melihat kepada senario di tempat letak kereta apabila mereka tidak nampak sama ada kereta di sebelah mereka kosong atau tidak, di mana penjahat menunggu masa untuk bertindak,” ujarnya.

Justeru kata beliau, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia menggesa Anthony supaya membuat pusingan-U secepat mungkin dan membuat kajian menyeluruh terhadap perkara itu.

“Ambil contoh Menteri-Menteri PH yang lain tanpa segan silu membuat U-turn dan hampir setahun membuat kajian.

“Buatlah u-turn kali ini demi keselamatan rakyat dan keselamatan atas jalan raya.

“Alasan-alasan yang diberikan oleh Menteri adalah sangat lemah. Permintaan rakyat untuk kurangkan kos sara hidup sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan, bukan cermin gelap.

“Alasan kesihatan sepatutnya dikaji bersama faktor keselamatan. Akhir sekali, jana pendapatan negara melalui pelaburan syarikat GLC dan dasar ekonomi yang jelas, bukan melalui bayaran RM5,000 cermin gelap,” tambahnya. – MalaysiaGazette