HUTAN MELINTANG: Kerajaan akan mempertimbangkan pemberian elaun khas untuk semua ahli Pertubuhan Peladang seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu bagi memastikan para peladang turut menerima manfaat yang sama seperti pesawah, penoreh getah dan nelayan ketika ini.

“Nelayan sudah ada RM300 sebulan, pesawah pun dapat bantuan sebanyak RM600, begitu juga dengan penoreh getah, takkan mereka sahaja yang dapat bantuan? Peladang pula apa ole-ole mereka?

“Saya akan duduk dengan Perdana Menteri dan menteri-menteri terlibat supaya kita dapat ikhtiar sesuatu untuk mereka (peladang), kita ingin beri berita gembira kepada mereka” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Jalinan Peladang Peringkat Negeri Perak di Hutan Melintang pada Selasa.

Tambah beliau, langkah itu juga perlu dibuat oleh kerajaan bagi menghargai sumbangan golongan berkenaan kepada pembangunan ekonomi negara.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan perbadanan kelapa dan nenas Malaysia akan diwujudkan bagi memastikan kelapa diangkat sebagai komoditi utama negara.

Katanya, percantuman kedua-dua perbadanan itu dilakukan sebagi langkah untuk menyelaraskan usaha seta pentadbiran peladang dari Bagan Datuk termasuk Kawsan Pantai Barat Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang merupakan pengeluar utama komoditi itu.