KUALA LUMPUR – Kerajaan mempertimbangkan untuk menjual aset atau jika perlu tanah milik kerajaan demi mengurangkan hutang negara.

Walaubagaimanapun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan tanah dan aset hanya tidak akan dijual kepada warga asing.

“Kita lihat peluang untuk mengurangkan hutang menerusi mengenalpasti aset kerajaan yang kita boleh jual.

“Kita masih ada beberapa aset. Malah kita kalau perlu jual tanah milik kerajaan tapi sudah tentu kita akan jual kepada rakyat Malaysia bukan warga asing. Ia akan membantu mengurangkan hutang,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu beliau dalam Dewan Rakyat berkata kedudukan kewangan negara bertambah baik dan hutang semakin berkurang

Jelas beliau ia adalah susulan pertumbuhan Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK).

“Sekarang KDNK negara sudah meningkat. Apabila KDNK meningkat, peratus hutang menjadi kurang.

“Kedua, apabila kita selesaikan beberapa hutang, hutang kita sudah berkurang.

“Kini kita hampir mencapai (kadar hutang) yang mana ia tidak lagi menjejaskan usaha kita untuk mentadbir dan membangunkan negara,” kata Dr Mahathir ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pontian (BN), Datuk Ahmad Maslan ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette