PEKAN NANAS : Selepas tiga hari Pakatan Harapan (PH) berkempen di Tanjung Piai, sebahagian pengundi Cina menyatakan parti gabungan itu belum dapat meyakinkan mereka sepenuhnya.

Pengundi Cina yang ditemui di Pekan Nanas berpendapat peluang PH memikat hati mereka masih 50-50.

Seorang pengundi Cina yang mahu dikenali sebagai Kong, berkata bukan mudah untuk PH memikat hati pengundi Cina berikutan ada setengah mereka mula marah dengan kerajaan sekarang.

“Memang susah bila jadi kerajaan kerana pembangkang juga mainkan peranan mereka untuk mendapatkan undi.

“Jadi walaupun pengundi Cina kadang-kadang sudah ada pilihan tetapi, kadang kala terpengaruh dengan media sosial yang berat sebelah kepada pembangkang,” katanya

Lelaki berusia 66 tahun itu berkata pengundi Cina sudah bijak menilai bukan seperti zaman 60-an atau 70-an dulu.

“Kami sudah tentu bijak menilai, terpulang bagaimana mereka nak yakinkan pengundi Cina,” katanya.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai 53,528 pengundi yang terdiri daripada 57% Melayu, diikuti Cina (42%) dan India (1%).

PRK kali ini menyaksikan persaingan enam penjuru membabitkan calon PH, Barisan Nasional, Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua calon bebas.

PH mempertaruhkan Karmaine Sardini dari PPBM sebagai calonnya pada PRK kali ini.

Seorang lagi pengundi Cina dikenali sebagai Jery berkata kelompok pengundi berusia senang terpengaruh dengan pembangkang.

Jery, 48, juga tidak menolak mereka terpedaya dengan media pro Barisan Nasional.

“Misalnya ada pengundi kecil hati dan merajuk manifesto PH tidak ditunaikan,” katanya.

Bagaimanapun dia masih yakin dengan PH yang perlukan masa untuk bangunkan kembali kerajaan yang rosak.

Jery menasihati kerajaan PH tegas dan tidak terlalu memberi kebebasan kepada media sehingga menekan kerajaan.

“Kita lihat media juga mainkan peranan penting dan tidak mengapi-apikan isu perkauman sehingga menyebabkan Melayu, Cina dan India bertelagah,” katanya.

Seorang lagi pengundi yang ingin dikenali sebagai Ong berkata beliau masih boleh menerima PH.

Dia tidak menolak bahawa pengundi Cina berusia mudah terpengaruh dengan pembangkang, berbeza dengan orang muda.

“Sekarang media sosial banyak, dapat baca tetapi kelompok pengundi berusia kebanyakannya tidak ada media sosial.

“Saya rasa mereka terpengaruh bila baca surat khabar yang pro BN,” katanya.