PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak senang melihatnya bebas melakukan kerja politik sehingga terus menganggu diri dah ahli keluarga.

“Saya dipaksa turun naik tangga mahkamah 4 kali seminggu. Kemudian hari minggu saya buat kerja politik.

“Tapi mereka (kerajaan) tak mahu saya terlalu bebas nampaknya. Sebab bila saya terlalu bebas, menyusahkan mereka,” kata Najib ketika hadir merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Pekan, hari ini.

Tambah Najib, tidak cukup dengan itu, kesemua ahli keluarganya turut diganggu, termasuk rumah ibunya, Rahah Mohamed Noah turut diceroboh pihak berkuasa.

“Mereka buat apa sahaja termasuk bonda saya di rumah. Mereka ceroboh masuk. Tengok pada siling. Konon dalam siling, kita simpan duit.

“Jadi (mereka) tengok pada siling, tak ada apa-apa. Keluar balik. Ini rumah isteri perdana menteri ke-2 Malaysia. Mereka sanggup buat. Cuba bayangkan. Ada juga orang macam ni?” katanya sambil menambah bahawa perbuatan itu menunjukkan kerajaan PH tidak menghormati ibunya.

September tahun lalu, media melaporkan polis menyerbu rumah Rahah di Jalan Eaton off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur difahamkan berkaitan siasatan kes 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Najib kini berdepan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang pada 3 hari lalu memasuki hari ke-58 perbicaraan.

Beliau akan terus dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan kes 1MDB yang dijadualkan bermula 19 Ogos ini selepas Mahkamah Persekutuan dalam satu keputusan sebulat suara, menolak rayuan ahli Parlimen Pekan itu untuk menangguhkan perbicaraan kes tersebut.