KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat mengenai keperluan rakyat mendapatkan perumahan yang selesa dan mampu milik.

Beliau berkata, projek perumahan yang dibina akan memberi keutamaan kepada golongan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan M40 (kumpulan berpendapatan 40 peratus sederhana).

“Sebagai kerajaan, kita turut mengambil perhatian terhadap kos sara hidup, kemudahan awam dan pengangkutan awam.

“Jika kita melaksanakan semua ini, kita percaya warga Wilayah Persekutuan akan terus memberi kepercayaan kepada kita,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kunci Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) Residensi Pandanmas Kampung Pandan kepada 700 penerima di sini, hari ini.

Residensi Pandanmas, yang unitnya berkeluasan 850 dan 900 kaki persegi dan dijual pada harga RM280,000 dan RM300,000, adalah satu daripada projek Rumawip di Kuala Lumpur. – Bernama