IPOH: Kerajaan negeri tidak terlepas pandang mengenai penambahbaikan infrastruktur serta penyelenggaraan berkala di setiap jalan raya di Perak bagi memastikan keselamatan pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, ini dibuktikan dengan inisiatif kerajaan negeri yang sentiasa mengemukakan isu berkenaan kepada Kementerian Jalan Raya secara konsisten.

Menurut beliau, antara contoh terdekat mengenai usaha tersebut adalah permohonan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai peruntukan untuk melengkapkan perabot jalan di persimpangan Jalan Kampung Muhibbah – Jalan Industri serta persimpangan Rimba Panjang.

“Menyedari keperluan yang terletak di kawasan Jalong, sebanyak RM40,000 telah diperuntukkan bagi pemasangan `flexible post’, `road studs’, garisan jalan dan papan tanda amaran.

“Kesemua inisiatif ini merupakan salah satu petanda bahawa faktor keselamatan merupakan agenda utama kami di seluruh negeri Perak,”katanya ketika menjawab soalan lisan Loh Sze Yee (DAP – Jalong) di Mesyuarat SIdang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 pada Rabu.

Menyedari kepentingan perabot jalan bagi kemudahan dan keselesaan rakyat, pihak JKR negeri juga telah mengemukakan permohonan peruntukan di sepanjang jalan raya persekutuan itu kepada kerajaan pusat pada 10 November lepas.

Tambahnya, semua kerja itu akan dilaksanakan sebaik sahaja peruntukan tersebut diluluskan dan dijangka siap dalam masa sebulan.

Selain itu, Zainol juga menjawab soalan tambahan daripada Datuk Zolkafly Haron (BN – Lintang) yang mempersoalkan mengenai usaha kerajaan negeri untuk mengurangkan kadar kemalangan di sekitar jalan persekutuan itu.

Menurutnya, mengikut laporan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), kadar kemalangan di sekitar kawasan itu adalah empat kes sejak 2014, namun itu tidak bermakna kerajaan mengambil ringan mengenainya.

“Justeru, kita akan bekerjasama dengan MKJR untuk mengenalpasti kawasan ekstrim kemalangan dan mengenai penyediaan kemudahan lintasan pejalan kaki, penambahbaikan infra jalan raya serta memberikan advokasi kesedaran peraturan jalan raya,” ujarnya.

Zainol mengingatkan bahawa, antara faktor utama kemalangan ialah sikap pengguna yang masih enggan mematuhi peraturan jalan raya.