PUTRAJAYA – Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz tidak mempunyai asas kukuh untuk mempersoalkan kerajaan atau Parlimen dia tidak mempunyai kuasa untuk mewujudkan sebarang akta berkaitan dengan pendidikan termasuk medium pengajaran dalam bahasa vernakular, Tamil dan Cina.

Peguam Kerajaan Persekutuan, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar menegaskan, Akta Pendidikan 1961 dan 1996 jelas menyatakan kerajaan ataupun Parlimen mempunyai peruntukan kuasa berhubung pendidikan.

“Perlembagaan Persekutuan mengatakan dengan jelas bahawa mereka (Kerajaan/ Parlimen) mempunyai kuasa untuk membuat Akta Pendidikan dan semua perkara berkaitan dengan pendidikan.

“Untuk mengatakan bahawa kerajaan tiada kuasa untuk membuat perkara yang berkaitan dengan Akta Pendidikan, pada kami itu adalah tidak betul,” katanya kepada pemberita di lobi Istana Kehakiman Putrajaya, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Khairul Azam yang diwakili lima peguam diketuai oleh Datuk Shaharudin Ali berhujah di Mahkamah Persekutuan Putrajaya berhubung permohonannya untuk mencabar keabsahan sekolah vernakular sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Azahar Mohamed bagaimanapun menetapkan 11 November ini sebagai tarikh untuk membuat keputusan kepada permohonan Mohd Khairul Azam itu.

Hakim Azahar telah mengeluarkan arahan bahawa beliau memerlukan masa untuk membaca hujah-hujah kedua belah pihak, khususnya Mohd Khairul Azam sebagai pemohon dalam cabaran keabsahan sekolah vernakular itu.

Dalam pada itu, Gurdial Singh juga mempersoalkan tindakan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu yang membawa permohonan itu terus ke Mahkamah Persekutuan tanpa melalui proses yang betul.

“Hujah atau bantahan kami terhadap permohonan mereka ialah mereka tidak boleh bawa permohonan itu terus kepada Mahkamah Persekutuan.

“Mereka hanya boleh datang ke Mahkamah Persekutuan jika mereka boleh buktikan kerajaan atau Parlimen tiada kuasa untuk membuat undang-undang berkaitan dengan pendidikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.