KOTA BHARU: Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM5.7 juta bagi pembinaan susur keluar lebuh raya dari Pasir Hor ke Perol, di sini, yang sudah disiapkan pembinaannya sejak setahun lalu.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPN), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata lebuh raya itu sebelum ini menjadi projek gajah putih apabila tidak dapat digunakan rakyat berikutan tiada susur keluar.

“Saya membuat surat kepada Kementerian Kerja Raya dan Alhamdulillah, kerajaan meluluskan peruntukan RM5.7 juta bagi membolehkan pembinaan susur dilakukan.

“Malah, sebelum ini rakyat juga memohon untuk kemudahan susur berkenaan dan kelulusan itu membuktikan Kerajaan Pusat prihatin terhadap rakyat Kelantan.

“Projek itu dijangka mengambil masa selama enam bulan dan semestinya menggembirakan rakyat apabila boleh menggunakan lebuh raya itu selepas ini,” katanya selepas mesyuarat di Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), di sini, hari ini – berita harian