KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited memastikan prinsip kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kemakmuran sosial terus ditegakkan di negeri ini.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata kerajaan negeri pimpinannya juga akan terus berusaha mengukuhkan nilai positif untuk faedah rakyat, termasuk bekerja keras mempertingkat kualiti hidup dan mengekalkan keharmonian penduduk Sabah.

“Saya harus menekankan bahawa sebarang tindakan boleh mewujudkan kesan negatif terhadap perpaduan dan kestabilan, harus dielakkan supaya kita dapat mencapai aspirasi untuk membangun serta membawa kemajuan Sabah ke tahap lebih baik.

“Dalam menjalankan program pembangunan di Sabah, kerajaan negeri tidak pernah mengetepikan mana-mana kaum atau kumpulan etnik.

“Ini terbukti dengan komitmen kita memperuntukkan sejumlah besar dana setiap tahun kepada sekolah dan tempat ibadat bukan Islam, termasuk masyarakat Cina. Kita tetap ikhlas memastikan semua rakyat Malaysia di Sabah dilindungi secara adil dan saksama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pesta Ang Pow sempena Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) yang turut dihadiri Presiden FCAS, Tan Sri TC Goh, di Dewan Hakka, Likas di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, Musa turut mengumumkan peruntukan RM50,000 kepada FCAS bagi menganjurkan aktiviti pertubuhan berkenaan.

Musa yang juga Menteri Kewangan tidak ketinggalan meminta masyarakat Cina di Sabah memberi sokongan padu kepada kerajaan, selain turut memainkan peranan penting dalam pembangunan dan kemajuan negeri ini.

“Saya percaya kestabilan politik, perpaduan, keharmonian dan nilai penerimaan yang kita amalkan di Sabah, akan terus menyumbang ke arah kemajuan serta kemakmuran negeri,” katanya.

Beliau juga gembira kerana perayaan Tahun Baharu Cina terus disambut penuh muhibah dan meriah oleh segenap lapisan masyarakat di Sabah.

“Kita sedar bahawa dalam masyarakat berbilang kaum, semangat perpaduan kukuh adalah asas penting ke arah kejayaan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan,” katanya – berita harian