IPOH 23 Mei – Kementerian Kesihatan menyambut baik cadangan agar perlindungan insurans disediakan bagi rawatan dan penjagaan kesihatan mental kerana ia dapat membantu membiayai kos pesakit berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, langkah itu mencontohi negara Singapura di mana syarikat insurans di republik berkenaan menyediakan perlindungan bagi lima jenis penyakit mental.

Menurutnya, antaranya melibatkan penyakit sindrom kerisauan melampau, tekanan perasaan,skizofrenia, kemerosotan ingatan (demensia) dan gangguan makan.

Beliau berkata, bagaimanapun perkara tersebut bergantung kepada kesediaan syarikat insurans yang tertakluk di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia.

“Ketika ini memang rawatan pesakit mental adalah mahal misalnya sesi bertemu khidmat nasihat daripada doktor pakar boleh mencecah RM100.

“Ini tidak termasuk kos ubat-ubatan dan penjagaan pesakit bergantung kepada jenis penyakit mental yang dihadapi. Jadi, wajar jika ada skim insurans bersesuaian diperkenalkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir merasmikan Pameran Pengajaran Kebudayaan Konfucius di Sekolah Menengan Poi Lam di sini hari ini.

Semalam, aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye menggesa Kementerian Kesihatan memberi fokus kepada lebih ramai pengamal perubatan dan mencadangkan agar liputan insurans disediakan bagi rawatan dan penjagaan kesihatan mental.

Beliau yang juga penaung Persatuan Psikiatri Malaysia berkata, inisiatif ini adalah penting kerana ia melibatkan kos dan rawatan yang besar.

Menurut Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan yang terkini, setiap tiga orang dalam 10 orang dewasa berusia lebih 16 menderita pelbagai isu kesihatan mental.

Mengulas lanjut kata Boon Chye, masalah berkaitan mental perlu ditangani bersama semua pihak termasuk menerusi kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang ramai.

“Kementerian Kesihatan misalnya mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi mempertingkat tahap kesihatan mental golongan pelajar menerusi program penilaian seperti Penilaian Kesihatan Mental,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE