KUANTAN: Kerajaan menyasarkan sumbangan kira-kira 70 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada golongan usahawan pada tahun 2050, selaras aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Pengarah Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan, Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata sasaran itu realistik dan mampu dicapai jika dilihat kepada peningkatan jumlah serta sumbangan usahawan ketika ini.

Katanya, sumbangan usahawan kepada ekonomi negara ketika ini sebanyak 36 peratus dan pihaknya menjangka peratusan itu akan meningkat kepada 41 peratus pada tahun 2020.

“Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM7 bilion setahun menerusi pelbagai bantuan dan program untuk golongan terbabit bagi memulakan dan memajukan perniagaan masing-masing.

“Golongan ini perlu merebut segala peluang disediakan untuk memantapkan perniagaan mereka supaya dapat pergi lebih jauh ke peringkat global,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Program Bahtera 2018 Edisi Timur, di sini, hari ini.

Program dua hari itu menghimpunkan hampir 7,000 usahawan dari Pantai Timur yang bertujuan memperkasakan usahawan Bumiputera.

Program Bahtera 2018 edisi timur adalah yang keempat dianjurkan selepas diperkenalkan pada 2015, menampilkan usahawan dan selebriti tanah air untuk berkongsi kejayaan serta panduan kepada peserta.

Aminuddin berkata, program bertemakan ‘Bumipreneurs of Tomorrow’ itu satu daripada inisiatif Kementerian Kewangan dalam menyediakan platform untuk memantapkan golongan terbabit.

Katanya, menerusi program itu usahawan tempatan dapat meneroka lebih banyak peluang dan insentif dalam mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Program ini berbeza berbanding program keusahawanan lain kerana formatnya lebih menarik dan bukan saja memfokuskan kepada usahawan sedia ada, tetapi juga mereka yang mahu menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Untuk mencapai sasaran negara maju, kita perlu melahirkan lebih ramai generasi usahawan dan usaha itu perlu bermula sekarang,” katanya – berita harian