KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia berdepan tindakan undang-undang daripada Lynas Corporation Ltd (Lynas) susulan prasyarat pembaharuan lesen Lynas Advance Materials Plant (LAMP) dikenakan terhadap syarikat itu.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, berkata keputusan kerajaan mengenakan prasyarat itu adalah berlandaskan undang-undang.

Katanya, prasyarat itu juga berdasarkan janji Lynas sendiri pada 2012 yang menyatakan komitmen untuk menghantar sisa radioaktif keluar dari Malaysia ke negara asal, Australia.

“Saya bercakap dengan Peguam Negara pagi tadi dan kita bersedia (berdepan tindakan undang-undang) kerana apa yang kita lakukan adalah berdasarkan kedaulatan undang-undang.

“Lynas tidak boleh datang ke negara ini dan cuba menetapkan bagaimana kedaulatan undang-undang ditegakkan di Malaysia.

“Mereka juga tidak boleh meminta pengecualian seolah-olah berhak mendapat pengecualian itu,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Lynas yang mahu mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan selepas Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengenakan dua syarat untuk pembaharuan lesen LAMP.

Syarat itu adalah LAMP perlu memastikan sisa Water Leached Purification Residue (WLP) yang mengandungi bahan radioaktif dihantar keluar dari Malaysia.

Bagi sisa buangan terjadual Neutralization Underflow Residue (NUF) yang bukan radioaktif, LAMP perlu mengemukakan pelan tindakan bagi pelupusan buangan terkumpul sebelum dipertimbangkan bagi permohonan kelulusan di bawah Peraturan 9 (6) dan 9 (7), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Bee Yin berkata, Lynas kini menyimpan 450,000 tan sisa WLP dan berisiko tinggi kepada penduduk setempat, khususnya jika berlaku bencana seperti banjir besar.

“Berdasarkan undang-undang, sisa buangan yang boleh disimpan hanya kira-kira 20 tan atau 180 hari had simpanan sementara.

“Lynas perlu membawa sisa radioaktif ini keluar dari Malaysia kerana tiada lokasi selamat untuk menyimpannya di negara ini,” katanya – berita harian