BAGAN DATUK: Kerajaan akan bersifat terbuka menerima sebarang cadangan yang diberikan oleh mana-mana pihak berkenaan usaha mencari bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 yang kini ditangguhkan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai bagaimanapun berkata, sebarang keputusan mengenai cadangan itu tidak akan dibuat selagi tiada bukti dan penemuan kukuh.

“Ya kita telah menerima pelbagai cadangan dan kita akan terus menerimanya, namun saya tegaskan kita tidak akan buat apa-apa keputusan selagi tidak ada bukti nyata yang dapat kita tetapkan,” katanya dalam satu sidang media di Hutan Melintang pada Jumaat.

Menurut beliau, walaupun usaha pencarian pesawat yang hilang itu digantung, namun ia tidak bermakna kerajaan menghentikan terus misi pencarian.

“Sekiranya terdapat bukti kukuh, kita akan kaji dengan terperinci dan dari situ kita akan lihat apa langkah seterusnya,” ujarnya.

Tiong Lai memberitahu, kapal pencari yang digunakan dalam misi tersebut akan berlabuh di Perth, Australia pada Ahad dan beliau bersama-sama rakan sejawatannya dari Australia akan bersama-sama melihat data yang telah dikumpul.

“Kita juga akan mengadakan penghargaan kepada pasukan pencarian itu selepas dua tahun setengah berusaha mencari bangkai pesawat itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, belum ada sebarang keputusan yang dibuat berhubung cadangan timbalannya, Datuk Abdul Aziz Kaprawi untuk memberi ganjaran wang kepada mana-mana pihak yang menemukan bangkai pesawat MH370.

Malaysia, Australia dan China baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bersama bahawa usaha pencarian dasar laut pesawat MH370 kini digantung, dengan kapal mencari terakhir dalam operasi itu meninggalkan kawasan pencarian seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Insiden kehilangan pesawat MH370 menjadi kes paling misteri dalam sejarah nahas udara selepas pesawat Boeing 777 bersama 239 penumpang dan anak kapal itu hilang dari radar ketika dalam penerbangan menuju ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.