SERDANG: Tindakan kerajaan Selangor membangunkan projek penukaran sistem aliran trafik di Jalan Besar, Jalan SK12/1 dan Jalan Raya 1 di Kampung Baru Seri Kembangan, di sini, menyebabkan lebih 100 peniaga di sepanjang tiga laluan itu terpaksa gulung tikar dan hilang punca pendapatan.

Presiden Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Serdang, Datuk Yap Pian Hon, mendakwa projek dilaksanakan sejak empat tahun lalu itu yang kononnya bagi mengatasi kesesakan kenderaan di sekitar kawasan terbabit, bukan sahaja menyebabkan keadaan bertambah buruk dan menyukarkan penduduk sekitar, tetapi menjejaskan mata pencarian peniaga setempat.

Katanya, projek bernilai RM36 juta itu menyaksikan pertukaran aliran trafik daripada empat lorong kepada laluan sehala dan sejak dilaksanakan kepada pengguna kenderaan pada April 2014, keadaan menjadi bertambah sukar dan membebankan.

“Ramai peniaga mengadu kepada saya yang perniagaan mereka merosot teruk. Jika dahulu, orang ramai boleh berjalan kaki ke kedai atau memberhentikan kenderaan berhampiran premis, kini kesesakan laluan itu menyukarkan mereka melintas dan berhenti di situ, sehingga menyebabkan peniaga tiada ramai pelanggan.

“Banyak kedai ditutup dan saya sendiri melihat pemilik menggantung iklan untuk menyewakan premis mereka kerana tidak mampu meneruskan perniagaan sedia ada,” katanya ketika ditemui.

Pian Hon berkata, walaupun menerima banyak aduan daripada penduduk, peniaga dan pengguna kenderaan di situ ekoran kemelut dialami akibat pelaksanaan projek terbabit, beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengatasinya kerana di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.

Kesesakan bertambah buruk

Mengulas lanjut katanya, projek itu menyebabkan masalah kesesakan di laluan terbabit bertambah buruk, terutama ketika waktu puncak sehingga memaksa pengguna melalui jalan alternatif yang lebih jauh dan merugikan masa mereka untuk sampai ke destinasi.

Pemandu kenderaan, tegasnya, terpaksa melencongkan laluan mereka ke kawasan perumahan di Seri Kembangan dan Serdang Raya sebagai jalan pintas sehingga menyebabkan kesesakan di situ dan mencetuskan ketidakpuasan hati penduduk setempat.

Lebih membimbangkan, katanya, permasalahan pembinaan jalan itu membahayakan nyawa pengguna kenderaan dan pejalan kaki, malah berdasarkan statistik tahun lalu, lebih 300 kemalangan dilaporkan berlaku di situ.

Menurut Pian Hon, apa yang menimbulkan kemarahan penduduk adalah projek berkenaan dilakukan tanpa perbincangan bersama mereka dan tiada notis diberikan sebelum pelaksanaannya.

“Penduduk tidak berpuas hati kerana kerajaan negeri tidak mendapatkan pandangan atau pendapat mereka, seolah-olah hak mereka sebagai penduduk asal kawasan terbabit dinafikan. Mereka sudah beberapa kali menyuarakan masalah ini kepada wakil rakyat mereka (Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Meng) tetapi sehingga kini tiada tindakan penyelesaian diambil,” katanya – berita harian