IPOH: Keprihatinan kerajaan negeri dalam memenuhi keperluan golongan petani dan penternak di negeri ini direalisasikan melalui penyediaan pelbagai kemudahan dan peruntukan khas untuk mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia dapat dilihat melalui peruntukan besar kepada Jabatan Pertanian Negeri (JPN) menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

Beliau berkata, sebanyak RM44.5 juta diperuntukkan kepada jabatan itu bagi tempoh RMK-11 iaitu RM8.5 juta pada tahun 2016 dan RM6.6 juta bagi tahun ini.

“Pelaksanaan bajet pertanian dilaksanakan berdasarkan Perak Amanjaya, Model Baru Ekonomi dan Dasar Agromakanan Negara (2011-2020) serta dokumen Wawasan 2020 negeri Perak yang bertujuan meningkatkan ‘Food Security’ melalui modus operandi pertanian kepada pengeluaran komersial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahmad Hasbullah Alias (BN-Kubu Gajah) pada mesyuarat ketiga penggal kelima Dewan Undangan Negeri Perak di sini, yang bermula hari ini.

Menurut Saarani, melalui RMK-11, JPN Perak telah membantu usahawantani membesarkan projek sedia ada dengan menyediakan plot pertanian yang boleh disewa di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di negeri ini.

“Secara keseluruhannya, TKPM di Perak memiliki keluasan 726.8 hektar dengan penglibatan 95 peserta dan berjaya mengeluarkan hasil buah-buahan sebanyak 11,623.4 metrik tan pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, dalam pada itu, jabatan berkenaan juga giat melatih para petani dengan melaksanakan 891 kursus latihan yang melibatkan 23,675 petani, tahun ini.

Saarani juga memaklumkan, sebanyak 20 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bakal bersara, telah menyertai projek peralihan penanaman cendawan tiram kelabu dan fertigasi cili di Lumut.

Katanya, projek tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM750,000 yang meliputi pembinaan rumah cendawan dan struktur fertigasi.
Beliau menjangkakan jumlah anggota TLDM yang menyertai projek itu akan meningkat dari semasa ke semasa.