IPOH – Kerajaan negeri tidak menafikan kemungkinan berlaku unsur pencemaran di Kampung Sahom, Kampar sepertimana didakwa penduduk di situ.

Exco Kerajaan Negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, daripada laporan diterima, pihaknya dimaklumkan perkara itu berlaku atas faktor kerja-kerja oleh operator yang tidak mencapai prosedur operasi standard (SOP) sebenar.

Bagaimanapun pihaknya akan mengadakan lawatan ke lokasi berkenaan untuk mendapatkan gambaran lebih terperinci berhubung aduan terbabit.

“Saya telahpun menerima laporan mengenai isu ini dan ianya sedang diteliti, saya harap dalam minggu depan, saya dapat adakan lawatan ke lokasi disebutkan.

“Ada kemungkinan ia berlaku disebabkan pihak operator yang tidak mengikut SOP, atau SOP sudah dipatuhi, tapi ada masalah lain timbul, kita akan lihat nanti apa sebenarnya berlaku,” katanya.

Terdahulu, tiga sungai utama iaitu Sungai Dipang, Sungai Kepar dan Sungai Reas yang menjadi nadi utama aktiviti berasaskan sungai di Kampung Sahom, didakwa dicemari dengan pembuangan sisa galian oleh sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti perlombongan di hulu sungai.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, daripada maklumat diperolehi, syarikat berkenaan telahpun mendapat kelulusan daripada pihak atasan untuk menjalankan aktiviti di kawasan itu – sinar